Pembayaran bulanan BUDI MADANI beri manfaat

Ketua Khidmat Pengurusan BSN Kelantan, Mohd Zaidi A.Malek (kiri) memberi penerangan kepada penerima BUDI MADANI.
Ketua Khidmat Pengurusan BSN Kelantan, Mohd Zaidi A.Malek (kiri) memberi penerangan kepada penerima BUDI MADANI.
A
A
A
KOTA BHARU - BUDI MADANI merupakan usaha Kerajaan dalam memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak sebagaimana dihasratkan oleh pucuk pimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelaksanaan BUDI MADANI itu merangkumi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) dan syarikat dan kenderaan pengangkutan (BUDI My Subsidi Diesel).

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.

Bagi membendung kenaikan kos sara hidup, kerajaan terus menyediakan subsidi diesel bersasar kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu.

BSN merupakan antara bank yang memainkan peranan dalam penyaluran bantuan BUDI MADANI kepada mereka yang layak.
BSN merupakan antara bank yang memainkan peranan dalam penyaluran bantuan BUDI MADANI kepada mereka yang layak.



Tidak cukup dengan itu, bantuan tunai RM2,400 setahun (RM200 setiap bulan) disediakan kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi yang layak.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu. Manakala hampir 400,000 petani, penternak dan pekebun kecil, layak menerima manfaat daripada BUDI AgriKomoditi.

Penerima disalurkan bantuan tunai pertama berjumlah RM200 bermula 10 Jun lalu melalui akaun bank masing- masing.

Penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan BSN seluruh Semenanjung Malaysia.
Penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan BSN seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:


Bagi penerima sedia ada pembayaran seterusnya telah disalurkan mulai 17 Julai manakala pembayaran bagi permohonan baharu yang telah diluluskan pada bulan Julai akan menerima bantuan tunai mulai 7 Ogos ini.

Rata-rata penerima bantuan tunai BUDI MADANI bernilai RM200 sebulan yang terdiri daripada pemilik kenderaan diesel individu, petani dan pekebun kecil melahirkan rasa syukur dan berpandangan ia memberikan penjimatan kepada mereka walaupun harga diesel diapungkan RM1.20 seliter berbanding sebelumnya.

Seorang petani dari Kampung Pusu 40 di Pasir Mas, Sopi Muhamad 52, mengakui awalnya dia bimbang dengan tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel namun kembali tenang dengan kewujudan BUDI MADANI.

SOPI MUHAMAD
SOPI MUHAMAD



“BUDI MADANI melenyapkan segala kebimbangan saya. Alhamdulillah RM200 sebulan banyak membantu saya menampung perbelanjaan diesel kerana sebagai penanam sayur bahan bakar ini sangat diperlukan.

“Apa yang lebih menggembirakan saya ialah kaedah bayaran juga mudah serta cepat. Hari ini merupakan kemasukan kedua selepas kali pertama diterima pada 10 Jun lalu,” katanya ketika ditemui di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Utama Negeri di sini pada Rabu.

Menurut bapa kepada dua anak itu, walaupun perbelanjaan bulanan untuk diesel meningkat namun dengan adanya bantuan tunai BUDI MADANI ia dapat meringankan beban yang ditanggung. Ujar penanam lada solok serta mentimun itu RM200 sebulan yang diberikan oleh kerajaan dapat menampung perbelanjaan yang diperlukan olehnya.


BUDI MADANI disambut baik oleh para petani kerana ia banyak membantu meringankan beban mereka selepas penyasaran subsidi diesel diperkenalkan.
BUDI MADANI disambut baik oleh para petani kerana ia banyak membantu meringankan beban mereka selepas penyasaran subsidi diesel diperkenalkan.



“Saya mengikuti perkembangan penyaluran subsidi diesel, kebetulan saya tinggal di kawasan sempadan negara. Sejak pelaksanaan itu saya melihat kenderaan negara jiran yang beratur di stesen minyak berhampiran sudah berkurangan.

“Alhamdulillah ia dilihat berjaya mengekang penyelewengan yang berlaku. Diharap dengan cara itu dapat menyelamatkan dana kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk mereka yang berhak sahaja,” katanya.

Ringankan beban kewangan

Sementara itu, pemilik tanaman tembikai, jagung serta bendi dari Pasir Pekan di Tumpat, Azman Mahmood, 54, memberitahu, walaupun ada kenaikan pada harga diesel namun kerajaan menghulurkan bantuan kepada golongan terkesan sepertinya iaitu dengan memperkenalkan BUDI MADANI.

AZMAN
AZMAN



Bapa kepada lima anak itu berkata, sepanjang 15 tahun mencari rezeki dengan bercucuk tanam dia sangat bergantung kepada diesel kerana ia digunakan untuk menghidupkan enjin bagi menyiram tanaman.

“Tipulah kalau pada awalnya saya tidak bimbang apabila kerajaan mengumumkan pengapungan harga diesel sehingga RM1.20 seliter. Namun kemarahan itu hanya sekejap kerana sebaik sahaja dilancarkan pada masa yang sama juga kerajaan memberikan kepada kami bantuan BUDI MADANI,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan kerajaan telah bersiap sedia dengan apa yang akan berlaku dan baginya bantuan segera yang diperkenalkan amat melegakan.

Ujar Azman, RM200 sebulan dapat menampung perbelanjaan yang bertambah dan ia sudah memadai.

Menurutnya, sebagai petani dia bersetuju BUDI MADANI ini dinikmati oleh mereka yang layak sahaja.

“Dana lebihan subsidi itu boleh digunakan untuk pembangunan negara seperti jalan raya, pendidikan atau apa sahaja asalkan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Anak muda dari Bukit Marak, di sini, Mohd Firdaus Mohd Yusoff, 29, pula dia sangat bersyukur kerana disebalik kenaikan harga diesel kerajaan masih memikirkan nasib petani sepertinya.


MOHD FIRDAUS
MOHD FIRDAUS



Dia memberitahu, terdapat peningkatan dalam kos yang perlu ditanggungnya selepas penyasaran subsidi diesel itu. Namun katanya, sekurang-kurangnya kerajaan memberikan bantuan kepada mereka dan adanya BUDI MADANI ini dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi.

“Saya menggunakan diesel bukan sekadar untuk pengangkutan tetapi untuk aktiviti meracun dan sebagainya.

“Dalam aktiviti tanaman fertigasi, diesel sangat diperlukan. Kami sudah terbiasa dengan harga yang murah sebelum ini, jadi kenaikan ini agak mengejutkan. Bagaimanapun, ia kurang membimbangkan kerana kerajaan memahami apa yang kami lalui dengan memperkenalkan BUDI MADANI,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, dana yang dapat dijimatkan melalui penyasaran subsidi diesel itu diharap dapat digunakan untuk menjaga kepentingan rakyat terutama mereka yang berhak.

Ujarnya, banyak perkara yang boleh dilakukan oleh kerajaan dengan lebihan dana itu seperti mempertingkatkan kemudahan kesihatan, pengangkutan dan bantuan untuk pertanian.

Pembayaran cepat dan mudah

ZULFAIZA
ZULFAIZA



Bagi pemilik kebun durian di Paloh, Gua Musang, Zulfaiza Abdul Rahman 38, dia memang bergantung kepada kenderaan diesel untuk berulang ke kebun yang memerlukannya memandu kenderaan jenis pikap.

“Namun bantuan RM200 sebulan melalui BUDI MADANI membuatkan saya menarik nafas lega dan merasakan kerajaan mendengar rintihan rakyat. “Alhamdulillah, pembayarannya juga cepat dan mudah diperoleh kerana ia dimasukkan terus ke akaun bank. Setakat ini, jumlah berkenaan dilihat banyak membantu meringankan beban kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 itu,” katanya.

Menurut Zulfaiza, jika sebelum ini setiap kali mengisi minyak sekitar RM100 namun sekarang sudah meningkat tetapi dengan bantuan BUDI MADANI ia tidak terlalu membebankan.

Ujarnya, diharap dengan lebihan dana daripada pelaksanaan penyasaran diesel ini kerajaan dapat memperluaskan lagi bantuan yang bersesuaian kepada golongan berpendapatan rendah dan membawa manfaat kepada semua rakyat.

“Apa yang saya lihat, langkah kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI ini dapat mengurangkan keresahan golongan yang terkesan seperti kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!