TikTok tambah moderator, pantau sesi 'live' semua bahasa vernakular
KUALA LUMPUR - Syarikat penyedia media sosial, TikTok telah menambah pasukan moderator bagi memantau dan meneliti sesi siaran langsung dalam pelbagai bahasa di platform berkenaan susulan kes kematian pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau Esha yang menjadi mangsa buli siber baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, TikTok memandang serius insiden berkenaan dan mengambil langkah segera untuk membendung kejadian seumpama itu berulang.
Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan kebanyakan sesi siaran langsung di TikTok dibuat pada waktu malam dan awal pagi.
"Mereka telah dengan segera menambah jumlah moderator yang akan meneliti termasuk kandungan dan sesi 'live' TikTok dalam bahasa-bahasa vernakular termasuk bahasa Tamil.
"Saya setuju seperti yang telah disebut dalam sidang media minggu lalu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet juga berpendirian bahawa platform-platform ini tidak boleh cuci tangan.
"Saya nak tegaskan kita sekarang ini melihat kepada isu buli siber tetapi sejujurnya banyak lagi masalah yang berlaku melibatkan platform media sosial.
"Saya kadang-kadang selepas solat subuh, duduk dan meneliti semua komen dan iklan 'scam' ini... Ia tak termasuk judi dalam talian. Jadi banyak perkara yang kita minta platform-platform ini segera betulkan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kementerian untuk memastikan kawalan kandungan di dalam pelbagai bahasa dan tindakan terhadap syarikat media sosial yang cuai mengawal kandungan buli siber.
Fahmi (PH-Lembah Pantai) berpandangan terdapat keperluan untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan Kabinet akan meneliti perkara tersebut.
"Kabinet berpendirian platform-platform ini tak boleh cuci tangan," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, terdapat penyedia platform media sosial yang bersikap culas dalam membuat pengesahan umur pemilik-pemilik akaun.
"Saya nak minta bantuan semua MP (ahli Parlimen) bila ada kanak-kanan bawah 13 tahun, pastikan mereka tak buka akaun media sosial sebab semua platform tak sepatutnya benarnya.
"Malangnya platform-platform ini culas untuk buat pengesahan tentang umur pengguna yang mendafta," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!