[VIDEO] Menteri Komunikasi tidak pernah arah agensi media tutup ruangan komen

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana agensi media termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menutup ruangan komen di akaun media sosial organisasi itu.

Beliau berkata, agensi media berhak mengenakan sekatan dengan kaedah yang dirasakan perlu, termasuk menutup ruangan komen mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan komen pembaca yang dimuat naik dalam ruangan laman portal media.

"Sukacita saya ingatkan Dewan yang mulia ini tentang keputusan yang pernah dibuat di Mahkamah Persekutuan sekitar 2021, berkenaan komen pembaca yang dimuat naik dalam ruangan laman portal media.

"Ini keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa platform tersebut bertanggungjawab atas komen-komen yang dimuat naik, saya sarankan kita berhati-hati dengan komen yang dimuat naik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), mengenai ruangan komen akaun media sosial agensi media seperti Bernama yang ditutup dan kaedah mengimbangi hak kebebasan bersuara dan sekatan berkaitan undang-undang yang perlu dikenakan terhadap buli siber.

Sementara itu menjawab soalan tambahan R. Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai langkah diambil kementerian bagi memastikan kawalan kandungan media sosial yang lebih efektif dan dalam pelbagai bahasa, Fahmi berkata, beliau telah mengadakan perbincangan antaranya dengan TikTok.

Artikel Berkaitan:

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

"Semestinya setiap media platform ada moderation team masing-masing, dari segi pemantauan oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), ia antara lain bergantung kepada aduan orang ramai.

"Satu fenomena yang berlaku sekarang, banyak sesi TikTok Live ini berlaku pada tengah malam, saya dapati dan meneliti maklumat yang saya terima, dalam kes yang melibatkan TikTok Live melibatkan mendiang Rajeswary Appahu, TikTok Live itu berlaku sekitar 3, 4 pagi, jadi memang mod pemantauan itu perlu berubah.

"Dalam perbincangan saya dengan TikTok mereka mengambil serius kejadian ini dan mereka juga sangat-sangat terkesan, mereka dengan segera telah menambah jumlah moderator yang akan teliti termasuk kandungan dan sesi TikTok Live dalam bahasa-bahasa vernakular, termasuk Tamil," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau Esha, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!