Jenazah Rais akan dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Itaewon

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Jenazah Mohd Rais Sarkhanuddin Zainordin, 23, dibawa ke Seoul, Korea Selatan untuk dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan di Masjid Itaewon.

Urusan penghantaran jenazah hanya akan dilakukan selepas urusan di Masjid Itaewon selesai dan setakat ini jadual penerbangan untuk membawa jenazah pulang ke Sabah belum dapat ditentukan lagi.

Menurut bapa saudara, Zaidi Mejin, 38, mereka kini sedang dalam perjalanan ke Seoul bagi pengurusan jenazah Mohd Rais yang mengambil tempoh kira-kira lima jam perjalanan.

"Kami bergerak dari Hospital Gumi sekitar jam 11 pagi (waktu tempatan) tadi dan dijangka akan tiba di Seoul sekitar jam 3 petang.

"Hari ini semua urusan untuk pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Itaewon termasuk memandikan jenazah, dikafankan dan disembahyangkan di sana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya belum mendapat perincian mengenai waktu penerbangan untuk membawa jenazah pulang ke Sabah.

"Kami belum tahu bila penerbangan jenazah namun kami sentiasa bersedia bila-bila masa saja," katanya.

Sementara itu, sepupu arwah Mohd Rais, Mohd Faizal Hishamuddin Amirdin, 37, memaklumkan ahli keluarga yang berada di Labuan kini dalam perjalanan ke Kota Kinabalu bagi pengurusan pengebumian jenazah sebaik tiba dari Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

"Ibu arwah juga sudah dalam perjalanan dan saya akan menyusul hari ini juga bagi menunggu ketibaan jenazah.

"Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Liang, Kota Belud, bersebelahan dengan kubur arwah ayahnya.

"Bagaimanapun, kami belum menerima maklumat mengenai bila jenazah akan diterbangkan dari sana memandangkan urusan untuk arwah disembahyangkan akan dibuat di Itaewon," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal turut memberitahu dana terkumpul untuk membawa pulang jenazah Mohd Rais setakat ini kira-kira RM60,000 dan telah mencukupi.

"Dengan rasa penuh tanggungjawab dan rendah hati, saya ingin menghentikan pungutan dana bagi pihak arwah dan tiada lagi kutipan dana dibuat selepas ini.

"Alhamdulillah dana dikumpul mencukupi dan segala bil tertunggak telah pun dilangsaikan. Saya mewakili kelluarga mengucapkan terima kasih dengan sumbangan disalurkan dan pihak keluarga juga turut menerima sumbangan peribadi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal menyifatkan Mohd Rais seorang yang sangat manja, baik dan ringan tulang dalam membantu ahli keluarga.

"Kami pun diibaratkan seperti adik beradik dan menganggap dia sebagai seorang adik yang baik.

"Kali terakhir kami bertemu pada bulan lalu di Kundasang ketika dia bekerja di sana, tetapi saya tidak menyangka kepulangannya kali ini hanya sebagai jenazah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!