Kastam rampas rokok, minuman keras hampir RM600,000

Mohd Asri (kanan) menunjukkan kesemua rokok dan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar mengenai kejayaan kastam menggagalkan cubaan pengedaran rokok dan minuman keras di Pejabat Kastam di sini pada Khamis.
Mohd Asri (kanan) menunjukkan kesemua rokok dan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar mengenai kejayaan kastam menggagalkan cubaan pengedaran rokok dan minuman keras di Pejabat Kastam di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pahang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM579,134 dalam tiga serbuan berasingan di kawasan perindustrian Teluk Kalung Kemaman, Terengganu.

Empat suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan awal 40-an ditahan dalam serbuan di premis perniagaan di kawasan perindustrian itu masing-masing pada 3 Julai lalu.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 11.30 pagi, pasukan penguat kuasa berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM15,770.

"Rampasan itu membabitkan nilai cukai RM77,178.

"Kita juga berjaya menahan dua pekerja premis ketika serbuan dilakukan," katanya dalam sidang akhbar mengenai kejayaan kastam menggagalkan cubaan pengedaran rokok dan minuman keras di Pejabat Kastam di sini pada Khamis.

Mohd Asri (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas dalam sidang akhbar mengenai kejayaan kastam menggagalkan cubaan pengedaran rokok dan minuman keras di Pejabat Kastam di sini pada Khamis.
Mohd Asri (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas dalam sidang akhbar mengenai kejayaan kastam menggagalkan cubaan pengedaran rokok dan minuman keras di Pejabat Kastam di sini pada Khamis.

Mohd Asri memaklumkan dalam serbuan kedua dan ketiga di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, pasukan penguat kuasa berjaya merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM101,821.

Jelasnya, kedua serbuan itu membawa kepada penahanan dua pekerja premis untuk tujuan siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah pekerja premis yang kita tahan bagi tiga serbuan adalah empat orang. Tiga daripadanya adalah lelaki manakala seorang lagi wanita.

"Tiga daripadanya penduduk tempatan dan seorang adalah pemegang kad pemastautin tetap, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.

Mohd Asri berkata, sindiket menggunakan premis perniagaan untuk pengedaran rokok dan minuman keras pelbagai jenis serta jenama untuk dijual di pasaran tempatan.

Jelasnya, kesemua rokok dan minuman keras itu dipercayai dibawa dari China menggunakan laluan laut.

"Kita sedang menyiasat sudah berapa lama premis yang diserbu itu beroperasi.

"Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, rokok dan minuman keras itu dijual kepada pekerja warga asing yang bekerja di kawasan perindustrian berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Asri menggesa orang ramai membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!