SST beri kesan fiskal lebih cepat berbanding GST

Hui Ying ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Hui Ying ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, sehubungan itu, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST.

Menurutnya, pelaksanaan GST akan dipertimbangkan apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutama mengambil kira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.

"Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu GST.

"Justeru, sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian berasaskan kepenggunaan seperti melaksanakan semula GST akan diteliti untuk memastikan ianya bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi.

"Pada masa sama dapat menjana hasil yang memapan kepada kerajaan," katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang bertanya adakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan semula GST,iaitu sistem cukai yang lebih berbanding SST.

Dalam pada itu, Hui Ying menjelaskan bagi tahun 2023, kutipan cukai menyumbang sekitar RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil Kerajaan sebanyak RM315 billion.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemberian subsidi, insentif dan bantuan Kerajaan pula adalah sekitar RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM406 bilion.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara.

"Oleh yang demikian, adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!