‘Pengumuman mengejut subsidi RON95 langkah tidak logik’ - SUA MCA

Gambar hiasan. Gambar kecil: Yee Fung
Gambar hiasan. Gambar kecil: Yee Fung
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan melakukan pengumuman mengejut penarikan subsidi petrol RON95 bagi mengelak kenaikan harga barangan adalah langkah tidak logik dan akan menyebabkan ketidaktentuan ekonomi.

Setiausaha Agung MCA, Saw Yee Fung berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli itu akan menggalakkan penyebaran berita palsu dalam kalangan rakyat dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kerajaan.

“Alasan Menteri Ekonomi bahawa pengumuman mengejut penarikan subsidi petrol RON95 dapat mengelak kenaikan harga barang secara berulang-ulang wajar dipersoalkan.

“Hakikatnya, harga barang sememangnya sudah berlaku disebabkan keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus dalam Bajet 2024 selain disebabkan kenaikan tarif air,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Rafizi terus mempertahankan strategi kerajaan mengenai alasan di sebalik pengumuman penyasaran subsidi diesel dibuat secara mengejut sebagai langkah mengawal harga barang.

Beliau berkata, ia bertujuan mengimbangi kesan kenaikan harga barang berkali-kali selain mengelakkan peniaga terus memanipulasi pengguna dengan pelbagai alasan.

Mengulas lanjut, menurut Yee Fung, kerajaan perlu memberi penekanan kepada penguatkuasaan undang-undang dan perangkaan yang lebih efektif.

Tambah beliau, Rafizi digesa menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Menteri Ekonomi bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Artikel Berkaitan:

“Beliau perlu merangka dasar dalam mengawal harga barang dan bukan memberi gambaran seolah-olah rakyat ialah punca kepada kenaikan harga barangan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!