Bersih kemuka 8 cadangan lindungi kebebasan SPRM

Muhammad Faisal pada Forum Khas bertajuk 'Reformasi SPRM: Apa Yang Perlu' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Khamis. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muhammad Faisal pada Forum Khas bertajuk 'Reformasi SPRM: Apa Yang Perlu' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Khamis. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengemukakan lapan cadangan kepada kerajaan bagi melindungi kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, antara cadangannya ialah kuasa melantik dan membuang Ketua Pesuruhjaya serta pegawai SPRM yang lain perlu dipindahkan daripada Eksekutif kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR).

Justeru katanya, tambahan klausa Perkara 141B Perlembagaan Persekutuan perlu untuk mewujudkan suruhanjaya khas.

"Cadangan kedua, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipinda untuk memindahkan kuasa bagi menamatkan pegawai awam yang melibatkan kepentingan awam, daripada kerajaan kepada suruhanjaya perkhidmatan yang bersesuaian.

"Selain itu, Perkara 132 dan 135 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi menjaga kepentingan dan hak penjawat awam," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Pembentangan Laporan Kajian dan Forum Khas bertajuk 'Reformasi SPRM: Apa Yang Perlu' yang berlangsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, pada Khamis.

Tambah Muhamad Faizal, kerajaan juga perlu mempertimbangkan prosedur untuk melucutkan Ketua Pesuruhjaya SPRM terletak di tangan SPPR.

"Cadangan seterusnya adalah status semasa Ketua Pesuruhjaya SPRM memegang jawatan atas kehendak Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri dan tidak boleh dipecat melainkan ada isu salah laku atau hilang upaya.

"Perkara terakhir adalah had tempoh Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah lima tahun," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjelaskan bahawa cadangan tersebut akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam tempoh terdekat agar dapat dilaksanakan.

Menurutnya, model SPRM hari ini pernah diuji namun jelas memperlihatkan bahawa ia masih tidak menjalankan fungsi dengan baik.

"Susulan apa yang berlaku dalam konteks isu rasuah besar seperti syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kita harus ada reformasi. Kita tidak boleh selesa dengan situasi sedia ada yang jelas teruji tidak dapat jalankan fungsi dengan baik.

"Sebab itu bagi kita ini masa terbaik untuk laksanakan reformasi. Harapan besar untuk perlaksanaannya, kita faham ia memerlukan ruang dan masa tetapi perlu ada kemajuan untuk dibentangkan di Parlimen.

"Lagipun cadangan ini dikeluarkan berdasarkan kajian komprehensif yang dilakukan oleh penyelidik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!