Premis 'ternak' aedes, kompaun dikeluarkan cecah RM500,000

Kerajaan Kelantan mendedahkan 1,000 kompaun dengan nilai RM500,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang 'menternak' aedes di kawasan mereka.(Gambar hiasan), gambar kecil: Hilmi
Kerajaan Kelantan mendedahkan 1,000 kompaun dengan nilai RM500,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang 'menternak' aedes di kawasan mereka.(Gambar hiasan), gambar kecil: Hilmi
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mendedahkan 1,000 kompaun dengan nilai RM500,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang 'menternak' aedes di kawasan mereka.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, lebih membimbangkan apabila jumlah kes melibatkan demam denggi meningkat 7.2 peratus pada tahun ini.

"Dari Januari hingga 13 Julai lalu Kelantan sudah mencatatkan bilangan demam denggi sebanyak 1,188 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas sekitar 1,108 kes.

"Menurut laporan JKNK (Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan) satu kematian dicatatkan, walaupun angka itu kecil tetapi ia perlu dipandang serius," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pihak JKNK telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Ujarnya, ia melibatkan pemeriksaan terhadap 270,246 premis yang menjadi tempat pembiakan aedes.

Hilmi memberitahu, antara aktiviti kawalan vektor yang dijalankan ialah pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.

"Bagi premis yang didapati bersalah akan dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).

Artikel Berkaitan:

"Seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab ini bagi membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di Kelantan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!