Penunggang motosikal maut tersepit bawah kereta
JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kota Tinggi, berhampiran sebuah stesen minyak di Tebrau pada awal pagi Isnin.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shahril Sapar, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 12.15 tengah malam tadi.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Unit Perkhidmatan Penyelamatan, Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota BBP Tebrau dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi, didapati kemalangan itu melibatkan dua kereta jenis Toyota Vios dan sebuah motosikal.
"Penunggang motosikal didapati tersepit di bawah kereta Toyota Vios dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
"PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas," katanya.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 1.19 pagi Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!