Findco jalin kerjasama dengan jaringan usahawan Malaysia, Indonesia
SYARIKAT pelaburan Findco Investors Berhad mengintai peluang kerjasama dengan jaringan usahawan dari Malaysia dan Indonesia bagi memperkasa ekonomi lebih mampan serta dapat memperkukuh hubungan serantau melalui ikatan perpaduan yang teguh.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Azlan Dalib berkata, usaha kolaborasi itu bakal menjana pelaburan sebanyak RM300 juta dalam sektor perniagaan berpotensi tinggi terutamanya bidang teknologi pertanian, hartanah, penternakan dan pertukaran teknologi melibatkan pelaksanaan serta model kewangan melalui bandar pintar (smart city).
Menurutnya, pertemuan perbincangan kerjasama itu yang diketuai delegasi usahawan dari Indonesia iatu A Malik Musa bersama Ahmad Rivai Harahap, Jerry Kurniadi, Vigielia Christiany, M Syarifun Hidayat dan Heski Roring berlangsung pada 10 Julai 2024 (Rabu) di ibu negara baru-baru ini.
“Jaringan usahawan Malaysia perlu meneroka pasaran Indonesia secara aktif kerana kedua-dua negara mempunyai potensi besar sebagai platform pasaran yang lebih luas di ASEAN. Kerjasama ini mampu memberikan manfaat dari segi peningkatan hasil jualan produk secara kolaboratif sejajar dengan matlamat ekonomi Malaysia yang lebih luas.
“Usaha ini bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada usahawan yang mengambil bahagian, tetapi juga kepada mereka yang menyumbang kepada penciptaan pekerjaan dan kepelbagaian ekonomi di Indonesia, melalui kerjasama yang inovatif,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain itu katanya, dalam pertemuan itu turut dibincangkan cadangan membekalkan bahan-bahan mentah dari Malaysia untuk dieksport ke Indonesia bagi pelaksanaan program makanan percuma untuk mereka yang terpilih.
Beliau berkata, ia adalah pertemuan penting dan bersejarah bagi kedua-dua negara dengan harapan kerjasama ini dapat membawa manfaat yang besar bagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!