[VIDEO] Wan Ahmad Fayshal digantung enam bulan, PN baca Qunut Nazilah

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Cubaan pembangkang untuk menggagalkan usul agar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, tidak kesampaian apabila undi belah bahagian tidak berpihak kepada mereka.

Usul dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu adalah susulan dakwaan Wan Ahmad Fayshal mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, berdasarkan undian, seramai ahli Parlimen 110 bersetuju dengan usul berkenaan, manakala 63 lagi tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

"Keputusannya, YB Machang digantung mulai hari ini selama enam bulan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sejurus selepas keputusan dibacakan, ahli Parlimen Pembangkang membacakan doa Qunut Nazilah, diketuai Zulkifli Ismail (PN-Jasin).

Azalina ketika mengemukakan usul berkenaan berkata, pada 1 Julai lalu, menyatakan Wan Ahmad Fayhsal secara terbuka menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan KWSP.

Sehubungan itu, beliau berkata, ahli Parlimen tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan selain dalam menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.

"Tanggungjawab kita buat undang-undang, bukan cakap pasal surat layang, kalau tak buat ketetapan kita akan buka budaya (surat layang) oleh pihak kerajaan dan pembangkang," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh selama kira-kira setengah jam ketika usul berkenaan di bahaskan oleh wakil blok pembangkang dan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee ketika mencelah berkata, usul yang dikemukakan Azalina disifatkan sebagai rosak dengan membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(9) dan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan berhubung definisi orang dalam perkhidmatan-perkhidmatan awam.

Beliau yang juga Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelaskan, pegawai KWSP yang disebut Wan Ahmad Fayhsal bukan termasuk dalam kategori penjawat awam.

"Intipati yang Speaker perlu lihat adakah KWSP ini termaktub sebagai pegawai kerajaan? KWSP ditubuhkan melalui Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452).

"KWSP tidak termaktub dalam definisi pegawai kerajaan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 132.

Wan Ahmad Fayshal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.
Wan Ahmad Fayshal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

"Sebab itu usul ini Tan Sri (Johari) perlu tarik balik kerana ia 'defective'. Tan Sri kita ini (dalam) perundangan. Kalau ada usul daripada (pihak)eksekutif, Tan Sri mesti nilai dan teliti. Kalau 'defective', ia perlu ditolak balik,"katanya.

Turut mencelah, ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang memohon Johari memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayshal untuk membela diri.

"Keputusan yang tak bagi hak kepada yang dituduh menjawab adalah zalim...hak MP (ahli Parlimen)...dia dipilih rakyatnya,"katanya.

Azli Yusof (PH-Shah Alam) ketika membahaskan usul tersebut berkata, tindakan Wan Ahmad Fayshal menggunakan maklumat tidak tepat daripada sumber surat layang mencemar Dewan Rakyat yang mulia.

"Surat layang dikaitkan diperoleh daripada kakitangan KWSP, dan ia menjejaskan maruah, kredibiliti, dan integriti mereka yang bekerja dalam agensi kerajaan dan badan berkanun," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!