Pegawai JPJ mengaku tidak bersalah 40 pertuduhan rasuah

Tertuduh (kiri) diiringi pengawai SPRM semasa berada di Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Tertuduh (kiri) diiringi pengawai SPRM semasa berada di Mahkamah Sesyen pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah atas 40 pertuduhan gagal melaporkan kesalahan pemberian rasuah berjumlah RM42,100 antara tahun 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Mohamad Sobri Osman, 39, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai pemeriksa kereta motor gred AB29 di JPJ Kuala Ketil didakwa diberikan suapan oleh pengurus sebuah syarikat pengangkutan melalui akaun Maybank milik tertuduh.

Pemberian rasuah itu didakwa dilakukan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat tersebut yang mungkin akan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemberian rasuah itu didakwa dilakukan antara 10 Mac 2016 hingga 8 oktober 2019 pada kadar antara RM1,000 hingga RM1,100 dan semua kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Alor Setar.

Kes didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamed Firdaus M Farouk.

Artikel Berkaitan:

Sebelum keputusan dibuat, pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM40,000 bagi semua pertuduhan dihadapi.

Walaubagaimanapun, Mohamed Firdaus memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak itu merupakan penanggung utama keluarganya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan nilai RM27,000 dengan seorang penjamin selain diarahkan menyerahkan passport kepada pihak mahkamah.

Priscilla Hemamalini kemudiannya menetapkan kes disebut semula pada 22 Ogos depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!