Sang Kenari tagih sokongan peminat berdepan JDT
KETUA pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde mengharapkan penyokong pasukan tersebut dapat memenuhkan Stadium Darul Aman bagi aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024-2025 pada malam Jumaat.
Menurutnya, sokongan penyokong Sang Kenari diperlukan untuk meningkatkan semangat pasukan bagi menghadapi juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Kami memerlukan suntikan semangat dari luar padang. Saya berharap puluhan ribu penyokong akan membanjiri Stadium Darul Aman untuk memberi sokongan pada aksi penting ini.
"Melalui lima perlawanan yang kami tempuhi sebelum ini, kami memperoleh empat kemenangan dan satu seri. Saya rasa keputusan itu mampu menarik sokongan penyokong untuk hadir mengiringi perjuangan kami," katanya.
Jelas pemain sayap itu, KDA FC juga berada dalam momentum terbaik dan berharap semua pemain dapat mengikuti setiap perancangan yang disusun oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Menurutnya, keputusan positif diharapkan dapat diraih pada aksi pertama itu sebelum berkunjung ke laman lawan pada 4 Ogos depan.
"Kini kami mahu meneruskan impian di separuh akhir pula dengan menentang pasukan serba lengkap JDT yang kami dan semua penyokong jangkakan ianya cukup mencabar.
"Semua pemain perlu bersedia pada tahap yang terbaik bersandarkan persiapan yang kami lakukan dan berharap dapat melaksanakan percaturan jurulatih sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!