Haram makan daging ayam busuk?
ADAKALANYA lauk ayam yang dibeli sudah berbau. Ia seakan busuk kerana menggunakan daging ayam lama.
Rasanya ramai yang pernah mengalami situasi itu dan tanpa sengaja sudah menjamah ayam busuk tersebut.
Apakah hukum memakan daging yang sudah busuk?
Menjawab persoalan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, para ulama secara umumnya berbeza pandangan mengenainya.
Jelas beliau, terdapat fuqaha yang membolehkan untuk memakan daging sudah busuk, tetapi makruh hukumnya dengan syarat ia tidak membahayakan atau memudaratkan orang yang makan.
“Bagaimanapun, sekiranya ia memberi dua implikasi disebutkan tadi, maka hukumnya adalah haram. Demikian pandangan dinyatakan dalam kitab I’anah at-Talibin yang menyatakan, makruh memakan ikan yang sudah berubah menjadi busuk.
“Hukum makruh tersebut adalah jika ia tidak membahayakan kepada pemakannya dan menjadi haram andai terdapat mudarat.
“Hal ini sebagaimana juga dihukumkan sebagai makruh untuk memakan daging selain ikan yang sudah busuk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #3052: Makan daging ayam busuk yang disiarkan menerusi laman web Maktabah Albakri.
Menurut pandangan kedua pula, ujar Dr Zulkifli, haram memakan daging yang sudah berbau atau busuk sama ada ayam, kambing atau haiwan lain tidak kiralah ia membahayakan si pemakannya atau tidak.
Ia menggunakan hujah dalil hadis daripada riwayat Abu Tha’labah Al-Khusyani bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila engkau melepaskan anak panahmu, lalu haiwan yang diburu itu hilang dari pandanganmu dan setelah itu dapat ditemukan, maka makanlah ia selama mana belum busuk.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
“Ketika mensyarahkan hadis itu, As-San’ani menyatakan bahawa lafaz ‘maka makanlah ia selama mana belum busuk’ bermaksud, dengan berubahnya cara mereput dan mengeluarkan bau busuk dan seumpamanya. Larangan memakan daging (haiwan buruan) yang sudah busuk adalah merujuk kepada hukum makruh tanzih dan bukannya haram.
“Sementara itu, Abdullah Al-Bassam menjelaskan lafaz ‘daging atau haiwan buruan yang sudah busuk’ dalam hadis tersebut merujuk kepada apa yang sudah berubah rasanya dan ia tidak akan mengeluarkan bau busuk melainkan selepas ia rosak. Apabila rosak, maka hilanglah manfaatnya dan memudaratkan. Jadi di dalamnya mengandungi dalil yang menunjukkan makruh memakan daging busuk,” katanya.
Berdasarkan perbahasan itu, Dr Zulkifli menjelaskan, tidak mengapa kita memakan ayam atau daging-daging halal lain yang sudah busuk dengan syarat ia tidak membahayakan atau memudaratkan pemakannya, tetapi hukumnya adalah makruh.
“Seandainya ia membahaya atau memudaratkan pemakannya, maka haram hukumnya,” katanya.
Mengulas tentang alasan mengapa sebahagian ulama membolehkan dan menghukumkannya sebagai makruh untuk memakan daging busuk jika tidak memudaratkan, jelas agamawan itu, ini kerana atas dasar ia tetap dikira sebagai suci dan bukannya najis.
“Imam An-Nawawi menyatakan daging yang sudah rosak dan busuk dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis mengikut pendapat Mazhab Syafie.
“Akan tetapi, terdapat satu pendapat dalam kalangan ulama Mazhab Syafie mengatakan, daging busuk itu dikira sebagai najis. Namun pendapat itu adalah syaz (diriwayatkan perawi thiqah, tetapi bertentangan dengan hadis lain oleh perawi lebih thiqah) dan tersangat lemah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!