Jeans tiruan 'terbang' dari Bangladesh


Timbunan kotak berisi seluar jeans disyaki tiruan yang diletakkan di bahagian paling depan kontena bagi mengaburi pihak berkuasa.
Timbunan kotak berisi seluar jeans disyaki tiruan yang diletakkan di bahagian paling depan kontena bagi mengaburi pihak berkuasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ribuan jeans tiruan menggunakan jenama terkenal dan dibawa masuk dari Bangladesh melalui Pelabuhan Klang ke ibu negara menggunakan kontena berjaya dibongkar, pada Rabu.

Operasi sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur bersama wakil cap dagang itu dijalankan kira-kira jam 9.20 malam hasil maklumat dan risikan selama tiga minggu.

Sinar Harian yang mengikuti operasi di Lorong Merbau, Off Jalan Kenanga terbabit mendapati modus operandi sindiket ialah menggunakan kira-kira 20 warga Bangladesh sebagai pekerja untuk mengangkat keluar kotak berisi barangan pakaian berjenama dan tidak berjenama dari kontena terbabit.

Bagi mengelak aktiviti itu mudah dikesan pihak KPDN, kerja-kerja itu dilakukan pada waktu malam tanpa mengira hari.

Sindiket gagal mengaburi pihak berkuasa apabila menyusun kotak berisi ribuan seluar jeans disyaki tiruan di bahagian paling depan sebelum meletakkan timbunan kotak pakaian lain.

Dipercayai, ini juga bagi mengaburi pemeriksaan oleh pihak kastam semasa di pelabuhan.

Sinar Harian difahamkan, pakaian itu akan dibahagikan kepada lima hingga enam 'pemain' di sekitar Jalan Kenanga sebelum dijual secara borong dan runcit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, siasatan pihaknya mendapati pakaian-pakaian berkenaan diimport dari Bangladesh sebelum dihantar oleh 'forwading agent' kepada peniaga di sekitar Jalan Kenanga.

Artikel Berkaitan:

Antara seluar jeans yang dirampas KPDN Kuala Lumpur dalam operasi di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur pada Rabu. (Gambar kecil: Nurul Syarina)
Antara seluar jeans yang dirampas KPDN Kuala Lumpur dalam operasi di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur pada Rabu. (Gambar kecil: Nurul Syarina)

Katanya, serbuan itu menemui 704 kotak berisi pelbagai pakaian untuk diperiksa.

"Kebanyakkan kontena ini bberisi pakaian pelbagai jenama diimport dari Bangladesh dan bukan semua barangan mempunyai cap dagangan yang berdaftar.

"Hasil serbuan menemui 210 kotak berisi seluar jeans yang disyaki dipakaikan dengan cap dagangan yang salah sebanyak 9,100 helai bernilai RM406,000," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, KPDN menahan pemandu lori kontena berusia 41 tahun untuk membantu siasatan.

Tegasnya, kesemua barang rampasan telah dibawa ke Stor Ekshibit KPDN Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!