Kerajaan fokus pacu ekonomi digital: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan serius memacu ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, selain itu ekonomi digital berupaya berperanan sebagai faktor penarik kepada pelabur, pembinaan modal insan dan penyelidikan.

"Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital yang menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai," katanya.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi memacu ekonomi digital ialah pengenalan inisiatif e-Tunai Rakyat, dengan sejumlah RM450 juta disalurkan melalui pengendali e-dompet terpilih bagi menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.

"Sistem bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja lebih efisien, bahkan dapat membantu mengurangkan kejadian pengelakan cukai,” katanya dalam amanat tahun baharu kepada warga Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan akan turut membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Malaysia Digital menerusi kerjasama awam swasta, melibatkan pelaburan sebanyak RM21.6 bilion, dengan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh daripada kos keseluruhan.

"Kerajaan juga akan memperkenal Geran Pembangunan Ekosistem 5G berjumlah RM50 juta dalam usaha menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat bagi menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia.

"Bagi merancakkan pertumbuhan e-dagang, kerajaan memperuntuk RM20 juta kepada Perbadanan Ekononi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengembangkan jaguh tempatan dalam membangunkan kandungan digital seperti e-Permainan, animasi dan seni digital," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan juga bercadang menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peruntukkan sebanyak RM70 juta.

Guan Eng berkata, konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) yang diperkenal kerajaan adalah usaha untuk menggalakkan kerjasama antara kerajaan dan swasta.

"DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Guan Eng berkata sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberi potongan cukai.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!