Semoga Pas berjaya terima 'katak' - Dr Akmal

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh secara sinis berseloroh agar Pas berjaya dengan menerima wakil rakyat yang 'melompat' dalam parti itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, tidak mustahil individu terbabit akan menyertai parti lain dan meninggalkan Pas pada masa akan datang seperti mana yang dilakukan terhadap UMNO.

Dr Muhamad Akmal turut menyelar kenyataan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis bahawa beliau dipilih menjadi wakil rakyat disebabkan jasanya.

"Kamu beritahu tanpa kamu, saya tak mungkin jadi wakil rakyat? Maaf saya jadi wakil rakyat bukan sebab kamu, tetapi sebab parti saya dan rakyat DUN Merlimau," katanya yang memuat naik status berkenaan di media sosial, Facebook.

Ujarnya, BN di negeri ini tidak tergugat sedikit pun dengan ketiadaan wakil rakyat itu kerana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka BN telah memenangi 21 kerusi daripada 28 kerusi.

"Jika tolak kamu sorang pun kita masih boleh membentuk kerajaan.

"Nasihat saya, jangan bermimpilah anggap diri tu hebat, kamu hanyalah katak politik yang hanya mementingkan diri sendiri," katanya lagi.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan Muhamad Jailani mengingatkan UMNO yang menyerangnya kini selepas menyertai Pas, supaya tidak lupa peranan pentingnya dalam membawa parti itu kembali mentadbir Melaka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika bukan kerana dirinya menarik sokongan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka pimpinan Adly Zahari pada 2020, UMNO tidak akan kembali mentadbir di negeri itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!