Dr Akmal minta ADUN Rembia sedia tabung bayar denda RM100 juta

Laporan Sinar Harian. Dr Akmal (kanan).
Laporan Sinar Harian. Dr Akmal (kanan).
A
A
A

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menyediakan tabung untuk membayar denda RM100 juta kepada UMNO.

Beliau yang juga ADUN Merlimau berkata, ini susulan tindakan wakil rakyat itu yang menjadi 'katak' dengan melompat dari UMNO ke parti lain.

Menurutnya, pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, semua ADUN Barisan Nasional (BN) dalam negeri ini telah menandatangani perjanjian termasuk dikenakan bon berjumlah RM100 juta sekiranya melompat parti.

"Jadi YB Jai (Muhammad Jailani) carilah tin milo banyak-banyak, saya minta dia untuk bayar balik kepada UMNO RM100 juta.

"Sebab kamu menang atas parti UMNO tapi kamu melompat, inilah katak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Zoonosis Sedunia peringkat negeri di Zoo Melaka di Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ruzita Mustaffa dan Penolong Pengarah Zoo Melaka, Nurul Akshikin Zulkharnain.

Dalam pada itu, Dr Akmal juga menyifatkan penyakit bawaan 'katak' ini bukan sahaja perlu dihindari tetapi sikap seperti ini harus dihapuskan supaya politik negara lebih stabil dan tidak mendatang natijah kepada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut bersetuju sekiranya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih wakil rakyat baharu.

Ujar beliau, ini kerana rakyat ketika itu memilih individu tersebut atas dasar parti dan bukannya dasar individu tersebut.

"Kalau dia kata rakyat sukakan dia, kita buat pilihan raya, kalau dia menang, menanglah dia.

"Kita tak takut sahut cabaran, sebab itu saya cabar saya minta (PRK), tapi apa pun atas kuasa Speaker DUN," katanya.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.

Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.

UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!