5 mekanisme sedia ada tidak berfungsi, SPRM perlu ditransformasi
SHAH ALAM - Tindakan transformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilaksanakan kerana lima mekanisme sedia ada didakwa tidak berfungsi sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Krosnisme (C4 Center), Pushpan Murugiah berkata, ia merujuk kepada tindakan dan pelaksanaan aktiviti dalam infrastruktur SPRM yang tidak efektif.
"Disebabkan situasi itulah kita perlukan reformasi lebih mendalam menerusi pelantikan ketua yang telus, tidak berat sebelah dan bebas daripada pengaruh eksekutif.
"Isu asasnya adalah kebebasan SPRM, jika ketua boleh dipengaruhi oleh ahli eksekutif jadi keseluruhan infrastruktur ada talian dengan eksekutif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Pembentangan Laporan Kajian dan Forum Khas bertajuk 'Reformasi SPRM: Apa Yang Perlu' yang berlangsung di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Program itu dihoskan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz; Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pegawai Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah, Dewan Negara, Senator Datuk Armand Azha Abu Hanifah.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, kebergantungan terhadap Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sebagai indikator utama untuk menghalang rasuah berskala besar adalah tidak mencukupi.
Ujarnya, skor yang diperoleh menerusi indeks tersebut kurang efektif kerana tidak melibatkan isu penggubalan wang haram dan pemboleh rasuah.
"Kegiatan rasuah berskala besar seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melahirkan satu peluang atau ruang di mana korupsi boleh berlaku tanpa seseorang disiasat atau ditangkap kerana sukar untuk dikesan.
"Pemboleh rasuah melibatkan dua bahagian iaitu institusi seperti bank dan peguam, manakala satu lagi adalah aktiviti nepotisme serta kronisme. Itu adalah antara perkara yang tidak termasuk apabila kita bercakap mengenai CPI.
"Jadi sekiranya kita mahu melenyapkan rasuah skala besar... selain CPI, kita perlu ada reformasi dari segi SPRM dan Prinsip Perniagaan Umum Arcadis (AGBP) untuk melihat keberkesanan secara menyeluruh," jelasnya.
Tambah beliau, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sudah ada tetapi masih tiada sebarang perancangan garis masa, pemantauan dan lain-lain.
Katanya, kerajaan perlu mendengar cadangan daripada semua pihak mengenai reformasi kerana sehingga kini masih tiada sebarang kegiatan membendung rasuah yang boleh dicontohi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!