'Kami kecewa, JAIS didakwa sewa tanah kubur untuk aktiviti pertanian'

Kerja-kerja pembersihan tapak di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana mula dilaksanakan sejak Rabu.
Kerja-kerja pembersihan tapak di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana mula dilaksanakan sejak Rabu.
A
A
A

PUCHONG - Jawatankuasa Masjid Taman Putra Perdana di sini, meminta pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi penjelasan berhubung pemberian sewa tapak kepada sebuah syarikat bagi tujuan aktiviti pertanian di Tanah Perkuburan Islam Taman Putra Perdana di sini.

Biro khairat kematian masjid itu, Mohd Hedzir Sarma Abdullah berkata, jawatankuasa masjid tidak dimaklumkan oleh pihak JAIS mengenai penyewaan tapak terbabit.

"Kami kecewa apabila JAIS tidak berbincang atau mengadakan sebarang mesyuarat dengan jawatankuasa masjid berhubung penggunaan tanah kubur untuk disewa kepada pihak luar.

"Sepatutnya, JAIS memanggil jawatankuasa masjid dan kami langsung tidak dimaklumkan tentang cadangan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Hedzir yang juga penggali kubur berkata, perkara itu hanya diketahui jawatankuasa menerusi media sosial.

Tambah beliau, pihaknya terkejut apabila mendapati kerja-kerja pembersihan tapak di tanah perkuburan itu mula dilaksanakan sejak Rabu.

Ujarnya, meskipun kawasan tanah yang disewa itu masih kosong, namun terdapat perancangan fasa kedua menempatkan lot-lot kubur memandangkan tapak sedia ada pada masa kini seluas 0.6 hektar semakin padat.

"Sehingga kini, terdapat 980 jenazah telah dikebumikan di tapak sedia ada dan kita jangka ia hanya mampu memuatkan 300 lagi lot kubur dalam tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

"Selepas tempoh itu, kita bercadang untuk membuka sebahagian lagi kawasan pewartaan bagi menampung jumlah jenazah semakin meningkat," tambahnya.

Mohd Hedzir berkata, purata pengebumian di tanah perkuburan itu seramai 20 jenazah dalam tempoh sebulan.

Katanya, tanah perkuburan itu milik JAIS sepenuhnya dan telah diwartakan kerajaan negeri untuk rizab kubur pada tahun 2010.

"Kita berharap penyewaan tapak itu tidak menimbulkan sebarang masalah lebih-lebih lagi perancangan membuka lot kubur baru di kawasan terbabit.

"Kami menyedari, keperluan tanah perkuburan ini sangat mendesak terutama di sekitar kawasan ini yang majoritinya penduduk Islam," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada JAIS berhubung itu tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!