Azlan Man terima cek lebih RM600,000 daripada syarikat pelancongan - Saksi

Azlan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen pada Khamis bagi perbicaraan kes membuat tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapinya. - Foto Bernama
Azlan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen pada Khamis bagi perbicaraan kes membuat tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapinya. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menerima tiga cek berjumlah RM629,395.30 daripada sebuah syarikat pelancongan dari 2014 hingga 2016.

Penolong Pengurus Maybank Cawangan Jalan Raja Laut JD David Jesudasan berkata, cek pertama bernilai RM208,339.90 daripada Sri Kedawang Travel&Tours (W) Sdn Bhd itu bertarikh 14 Februari 2014, cek kedua (RM196,651) bertarikh 5 Februari 2015 dan cek ketiga (RM224,404.40) bertarikh 20 Januari 2016.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari pertama perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Saksi pertama pendakwaan itu berkata, terdapat kemasukan wang melalui cek berjumlah RM230,230 daripada Perbendaharaan Negeri Perlis ke akaun Sri Kedawang Travel&Tours Sdn Bhd pada 10 Januari 2014.

"Terdapat dua lagi kemasukan wang secara dalam talian daripada bank ke akaun Maybank syarikat Sri Kedawang berjumlah RM216,260 pada 19 Disember 2014 dan RM241,295.40 pada 23 Disember 2015,” katanya yang mula berkhidmat dalam sektor perbankan pada 1996.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel&Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel&Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Azlan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta di antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!