'ADUN Rembia tidak jujur, wajar kena tindakan'
SHAH ALAM – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis menyertai Pas secara senyap merupakan penipuan kepada Speaker DUN Melaka.
Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, selain berniat tidak jujur, ADUN berkenaan dilihat cuba mengelak dikenakan tindakan kerana melompat parti.
“Bagaimanapun dia berdepan dengan tindakan saman sebanyak RM100 juta oleh UMNO kerana dia telah menandatangani aku janji sebelum PRU yang lalu.
“Ini bermakna dia akan berhadapan dengan tuduhan menipu Speaker dan melanggar aku janji parti yang boleh mengakibatkan kerusi DUNnya dikosongkan dan diheret ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhamad Jailani menyertai parti itu secara rasmi dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
Menurut Takiyuddin, keahlian Muhamad Jailani yang juga wakil rakyat UMNO itu diterima pada 10 Jun tahun lalu.
Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menjelaskan, keputusan Muhamad Jailani yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun itu tidak dianggap sebagai lompat parti kerana pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!