Madani dijel setahun, lucut harta RM3.4 juta, denda RM100,000

Mohamad Madani. Foto Bernama
Mohamad Madani. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Robotik Automotif dan IoT (MARii) dihukum penjara setahun, dilucut hak harta sebanyak RM3.4 juta dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Khamis.

Datuk Mohamad Madani Sahari, 57, dikenakan hukuman itu atas dua pertuduhan pilihan, menipu bagi mendapatkan kontrak RM6.4 juta dan memperoleh wang RM5 juta pada 2019 dan 2021 lalu.

Tertuduh juga dikenakan hukuman itu selepas menukar mengaku kepada bersalah, atas masing-masing satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Suzana Hussin dan Rozina Ayob.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula Khamis dan tambahan jel tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Di hadapan Rozina, lelaki itu didakwa atas satu pertuduhan pilihan, menipu dengan memperdayakan Lembaga Pengarah MARii bahawa harga yang ditawarkan oleh syarikat LPS Learning Platform adalah RM6,465,000 sedangkan harga sebenar yang ditawarkan ialah RM2,388,600.

Ini mendorong lembaga pengarah tersebut meluluskan cadangan pelantikan LPS Learning Platform sebagai ‘the training provider for Central, East Coast, Southern and Sabah & Sarawak’ yang mana mereka tidak akan meluluskannya, jika tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini, antara jam 10.50 pagi hingga 3.35 petang, 14 Disember 2019 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Di hadapan Suzana, ahli perniagaan itu didakwa atas satu pertuduhan pilihan, sebagai seorang penjawat awam iaitu CEO MARii, telah memperoleh untuk diri sendiri, wang tunai RM5 juta daripada seorang lelaki berusia 49 tahun, melalui akaun bank Hong Leong Islamic, milik sebuah syarikat atas arahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun.

Sedangkan tertuduh mengetahui bahawa Syarikat Aspire Knowledge Sdn Bhd mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan dilakukan di cawangan bank itu di Seksyen 15, Shah Alam, pada 8 Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan barisan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Mohd Asraf Mohd Tahir, Haresh Prakash Somiah, Nurul Atiqah Mohd Alias dan Noor Syafina Mohd Radzuan.

Sementara pembelaan diwakili, peguam, Azizul Shariman, Ariff Azami Hussein dan Nor Shahira.

Bagaimanapun, 41 pertuduhan utama iaitu di bawah Seksyen 403 dan 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 4 AMLATFPUAA yang dihadapi Mohamad Madani sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 10 Mei 2023, dia didakwa dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas sembilan pertuduhan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM4 juta, pada 2021 dan 2022.

Dia didakwa dengan enam pertuduhan terlibat secara tidak langsung dalam transaksi melibatkan hasil aktiviti haram melalui akaun bank milik peguamnya, melalui surat arahan kepada peguam itu kepada akaun milik beberapa individu dan syarikat, berjumlah RM750,000.

Dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada 29 Januari lalu, di Mahkamah Sesyen di sini, lelaki itu didakwa atas satu pertuduhan menipu lembaga pengarah MARii dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa harga ditawarkan oleh LPS Learning Platform adalah RM6.4 juta sedangkan harga sebenar ditawarkan RM2.39 juta.

Perbuatan itu mendorong lembaga pengarah tersebut untuk menyerahkan kontrak bernilai RM6.4 juta kepada LPS Learning Platform dengan meluluskan cadangan pelantikan syarikat itu sebagai 'penyedia latihan bagi wilayah Tengah, Pantai Timur, Selatan serta Sabah & Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik mesyuarat di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral Dua di sini antara jam 10.50 pagi hingga 3.35 petang, 14 Disember 2019.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Keesokan hari, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 17 pertuduhan salah guna dana syarikat itu berjumlah RM1.63 juta, bagi tempoh 2020 hingga 2021.

Dia didakwa secara tidak jujur menyalah guna dana milik MARii berjumlah RM1,630,200 melalui cek LPS Learning Platform iaitu untuk membuat bayaran rawatan stemcell 500,000 di VHG Wellness di cawangan sebuah bank di Seksyen 20 di sini antara 13 Julai 2020 dan 26 April 2021.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 14 April, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas satu pertuduhan, secara rasuah menerima wang RM5 juta daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank, di Seksyen 15, Shah Alam, pada 8 Julai 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 8 Mei pula, dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta rasuah daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk dirinya membantu individu itu mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja berjumlah RM24 juta daripada Syarikat A2Z Technology Sdn Bhd iaitu syarikat subsidiari kepada MARii.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Solaris Dutamas di sini pada jam 11 pagi hingga 3 petang, Mei 2021 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Pada 24 Mei, di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Mohamad Madani didakwa atas 10 pertuduhan menerima hasil aktiviti haram menerusi akaun bank milik peguamnya, berjumlah RM1 juta.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM38,000 daripada Trillion Cove Holdings Berhad, hasil pembelian saham Redeemable Preference Share-i berjumlah RM1 juta.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Kulim, antara 7 September 2021 sehingga 22 Februari 2022, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta AMLATFPUAA 2001.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!