Dewan Rakyat: Pindaan Akta Penagih Dadah iktiraf peranan pegawai pemulihan
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024, pada Khamis selepas kali terakhir ia dipinda 20 tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU berkenaan mengiktiraf peranan pegawai pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk melaksanakan verifikasi terhadap klien yang memerlukan rawatan.
Bagaimanapun menurutnya, perkembangan itu tidak mengenepikan tanggungjawab dan peranan pegawai perubatan.
"Dengan lulusnya akta ini, kedudukan atau status pegawai pemulihan itu kita upgrade (naik taraf) iaitu mereka punya kuasa untuk memberikan perakuan setelah lakukan verifikasi terhadap klien yang datang secara sukarela untuk menerima program rawatan dan pemulihan.
"Kalau sebelum ini satu sahaja iaitu pegawai perubatan. Sekarang ini pegawai pemulihan boleh memperakukan setelah melakukan proses verifikasi.
"Akta ini juga tidak sama sekali mengenepikan peranan pegawai perubatan. Hakikatnya di AADK seluruh negara sekarang, sudah ada pegawai perubatan dan ada penolong pegawai perubatan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.
Terdahulu, RUU berkenaan diluluskan secara majoriti, dengan hampir 40 ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada 9 Julai lalu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dengan kelulusan RUU itu juga, ia kini dialihkan kepada nyahjenayah berbanding sebelum ini yang memberi penekanan kepada hukuman untuk pesalah dadah.
"Maksudnya mereka yang terlibat menagih atau menyalahguna bahan, kalau sebelum ini opsyennya satu (sahaja), iaitu pemenjaraan.
"Tapi kali ini kita salurkan kepada rawatan dan pemulihan di bawah AADK. Bukan sahaja 30 AADK yang kita ada, tetapi juga ada pusat rawatan pemulihan dadah persendirian," katanya.
Selain itu, RUU berkenaan juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalahgunaan dadah dan bahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!