'Kalau niat cari nafkah halal, salah laku tak akan berlaku' - KPPA
SEREMBAN - Penjawat awam perlu menghayati peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan tugas bagi mengelakkan terjebak salah laku.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia selaras dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap kementerian, jabatan dan agensi memberi keutamaan terhadap aspek pengurusan, tatakelola dan kebertanggungjawaban.
"Sebenarnya ia berbalik kepada bagaimana kita menghayati kerja itu sendiri, kalau kita melihat ia sebagai satu tempat untuk mencari nafkah yang halal dan sebagainya, saya percaya perkara ini (salah laku) tidak akan berlaku.
"...dan kita hendaklah sentiasa ingat bahawa tatakelola dalam melaksanakan tugas itu sangat perlu," katanya kepada pemberita selepas selesai lawatan kerja sehari ke Negeri Sembilan pada Khamis.
Katanya, Perdana Menteri juga sentiasa mengingatkan bahawa tatakelola tadbir urus mesti bermula di setiap lapisan penjawat awam sama ada di peringkat tertinggi, menengah ataupun bawah.
"Pemantauan daripada ketua jabatan juga amat penting, oleh demikian Perdana Menteri telah menegaskan, sekiranya ketua jabatan tidak memantau bagaimana keadaan anak buah masing-masing atau tahu akan adanya pelanggaran tetapi tidak diambil tindakan.
"Berkemungkinan mereka itu tidak akan menerima kenaikan gaji atau tidak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Ini pada saya satu perkara yang perlu diberi perhatian serius," katanya.
Beliau berkata, selain itu ketua jabatan atau penyelia perlu sentiasa membuat tinjauan di kaunter perkhidmatan pelanggan bagi memastikan tidak timbul isu berbangkit dan memastikan Piagam Pelanggan disemak mengikut peredaran masa.
"Kalau tahun 1995 itulah piagam pelanggannya kita tak nak tahun 2024 masih benda yang sama dan banyak perkara yang boleh dibuat dengan lebih pantas," katanya.
Dalam pada itu,mengulas mengenai kenaikan gaji penjawat awam, beliau berkata ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan hadapan dan diyakini memberi berita baik kepada semua penjawat awam termasuk yang telah berpencen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!