Polis selamatkan 26 pekerja asing dikurung, tidak dibayar gaji

A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seramai 26 warga asing yang dikurung dan tidak dibayar gaji diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah bangunan di Kampung Seri Perkasa dekat Hutan Melintang pada Selasa.

Dalam serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu, semua mangsa lelaki warga Bangladesh dan India berusia lingkungan 22 hingga 51 tahun didapati dikurung dalam bangunan berkunci tersebut sejak lapan hari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan di kawasan itu mengesan seorang lelaki warga tempatan dan seorang warga asing yang mengaku sebagai penjaga pekerja asing berkenaan.

"Hasil pemeriksaan kita menemui 26 pekerja asing berada dalam bangunan itu, mereka telah dikurung dan dikunci sehingga tidak boleh keluar.

"Semua mangsa disyaki telah menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa sebagai pekerja ladang dan tidak dibayar gaji oleh majikan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa yang diselamatkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk untuk siasatan lanjut.

Katanya, soal siasat awal dijalankan kemudiannya telah berjaya membawa kepada penangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

"Siasatan lanjut kini dijalankan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!