Lelaki tunggang motosikal sambil acu pistol mainan ditahan

Gambar tular suspek menunggang motosikal sambil membawa sepucuk pistol mainan di sekitar daerah Kuala Terengganu.
Gambar tular suspek menunggang motosikal sambil membawa sepucuk pistol mainan di sekitar daerah Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal sambil sebelah tangannya mengacu sepucuk pistol mainan membawa padah apabila ditahan polis pada Khamis.

Suspek berusia 26 tahun yang juga pembantu kedai makan berasal dari Ranau, Sabah itu ditahan ketika serbuan dilakukan di Jalan Sultan Mahmud, Kampung Ladang Sehat dekat sini sekitar jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat orang ramai yang dikongsikan menerusi media sosial.

"Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bertindak mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di lokasi berkenaan.

"Susulan penahanan suspek, pihak polis telah merampas sepucuk pistol disyaki tiruan warna hitam bercetak tulisan 'De In Israel'.

"Selain itu, turut dirampas sehelai seluar jeans warna biru, sehelai jaket warna hitam, sebuah motosikal jenis Honda C70 serta satu anak kunci.

"Polis turut merampas topi keledar serta visor warna hitam," katanya di sini.

Azli berkata, ujian saringan urin ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata api 1960.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai individu yang dirakam di dalam video tular tersebut.

"Suspek juga mengaku pistol tersebut diambil dari dalam tong sampah berhampiran bulatan Ladang di sini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!