Lelaki dibunuh, mayat dibakar angkara hutang RM7,000
KAJANG - Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan satu mayat yang terbakar di kawasan semak berhampiran Empangan Semenyih, Selangor pada 23 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pada tarikh tersebut, pihaknya menerima laporan berkaitan satu mayat manusia diketemukan dalam keadaan terbakar jam 10.07 pagi di kawasan empangan tersebut.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan siasatan dijalankan, pihaknya telah menahan empat lelaki berusia 18 hingga 44 tahun di kawasan Batu 14, Hulu Langat di sini, Khamis lalu bagi membantu siasatan.
"Hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua yang ditangkap positif dadah jenis METH, manakala dua daripadanya mempunyai lebih daripada 20 rekod jenayah lampau.
"Tiga suspek yang terlibat akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Jumaat di Kompleks Mahkamah Kajang, manakala seorang lagi suspek akan menjadi saksi pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Naazron berkata, motif kejadian adalah disebabkan isu hutang antara suspek dan mangsa.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang penganggur berusia 28 tahun adalah rakan kepada suspek.
"Mengikut keterangan suspek, mangsa berhutang sebanyak RM7,000," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!