Pengeluar kereta boleh bawa masuk lebih banyak model EV untuk pemasangan tempatan

Chin Tong. Foto Bernama
Chin Tong. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengeluar kereta tempatan boleh membawa masuk lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) untuk pemasangan tempatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, pengeluar kereta tempatan menghadapi cabaran untuk mengeluarkan EV pada harga yang kompetitif berikutan kos pembangunan teknologi EV adalah tinggi, berbanding teknologi pembangunan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) yang telah sekian lama dibangunkan.

"Oleh itu, bagi membantu pengeluar kereta tempatan dapat mengeluarkan EV pada harga yang lebih kompetitif, kerajaan telah menawarkan insentif cukai yang lebih menarik berbanding dengan kenderaan jenis ICE.

"Secara khususnya, BEV (kenderaan elektrik menggunakan bateri) dan FCEV (kenderaan berkuasa hidrogen) yang dipasang secara tempatan dapat menikmati pengecualian duti import, duti eksais serta cukai jualan sepenuhnya sehingga 31 Disember 2027,” katanya semasa sesi kamar khas Parlimen, pada Khamis.

Beliau juga berkata, EV yang dipasang di Malaysia tidak tertakluk kepada had harga minimum RM100,000 seperti yang dikenakan ke atas EV yang diimport.

Chin Tong berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai usaha mempertingkatkan keupayaan pengeluar kereta tempatan untuk mengeluarkan kenderaan tanpa pelepasan karbon (ZEV) mampu milik untuk rakyat Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!