Jeti terapung AS benar-benar jadi 'gajah putih'
GENTING GAZA - Tentera Amerika Syarikat (AS) mengumumkan secara rasmi penamatan operasi jeti terapung menelan kos AS$230 juta (RM1.07 bilion) di luar pantai Genting Gaza yang sebelum ini bertujuan untuk membawa masuk bekalan bantuan ke wilayah itu menerusi koridor maritim.
Timbalan Komander Pusat Perintah AS (CENTCOM), Brad Cooper pada Rabu memberitahu platform sementara itu kononnya sudah mencapai matlamat asal.
“Misi tersebut dihentikan setelah lonjakan penghantaran jumlah bekalan kemanusiaan ke Gaza. Ia sudah tidak lagi diperlukan,” katanya tanpa memberikan bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah ofensif yang semakin ganas di enklaf tersebut yang turut menyaksikan agensi bantuan memberi amaran tentang bekalan yang semakin terhad dan bakal menyebabkan kesengsaraan lebih teruk terhadap penduduk Palestin.
Jeti terapung yang kini menjadi 'gajah putih' hanya sempat beroperasi selama 25 hari sebelum dipindahkan ke pelabuhan Ashdod di Israel setelah projek tersebut dihebahkan Presiden Joe Biden pada Mac lalu.
Sebelum ini, terdapat beberapa laporan yang mendakwa platform tersebut digunakan untuk membantu kempen serangan ganas rejim Zionis ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza yang telah meragut 274 nyawa manakala hampir 700 cedera ketika kejadian pada 8 Jun lalu, namun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Washington.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel terus memperhebatkan kempen serangan di tengah Gaza setelah ia semakin menggila membedil kem pelarian yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin dan meragut nyawa orang awam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!