'Tahun lalu sudah diusir, tahun ini PATI sama datang balik'
JOHOR BAHRU - Pernah didakwa dan diusir kembali negara asal pada tahun lalu kerana memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen.
Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada salah seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sebuah pasar raya, dekat sini pada Khamis.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, lelaki berkenaan yang bekerja di pusat refleksologi bertindak melarikan diri ketika serbuan Operasi Mega diadakan pada jam 12.30 tengah hari.
"Ketika serbuan lelaki berusia 37 tahun cuba melarikan diri hingga menyebabkan seorang anggota penguat kuasa mengalami kecederaan di dahi akibat dirempuh.
“Pemeriksaan lanjut mendapati warga asing itu yang masih bujang tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan telah ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika sidang akhbar selepas operasi diadakan.
Menurut beliau, seramai 123 pekerja asing termasuk 49 wanita yang ditahan dalam Operasi Mega selama sejam.
Jelasnya, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kebanjiran warga asing yang bekerja di pasar raya berkenaan.
"Kesemua yang ditahan terdiri daripada 64 warga Indonesia termasuk 35 perempuan, 45 warga Myanmar termasuk 12 perempuan, tujuh lelaki Bangladesh, masing-masing dua lelaki Nepal dan India, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Pakistan.
"Kesemua warga asing berusia antara 20 hingga 65 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan tinggal lebih masa, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.
"Kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta155)" katanya.
Tambahnya lagi, kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!