4 lelaki terlepas tali gantung, hukuman diganti penjara 20 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Empat lelaki terlepas tali gantung selepas pertuduhan mengedar 2.264 kilogram metamfetamina yang dihadapi mereka dikurangkan kepada memiliki dadah berkenaan.

P Shamugasundram, 39, S Vickneswaran, 41, K Vignesvaran, 35 dan S Sathan, 40, kemudian diperintah menjalani hukuman penjara 20 tahun dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 1 Februari 2016 dengan masing-masing dikenakan 10 kali sebatan.

Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Shamugasundram, Vickneswaran dan Sathan, memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi mereka untuk meminda pertuduhan yang dihadapi keempat-empat tertuduh daripada mengedar kepada memiliki.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Vignesvaran.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling, yang mengesahkan perkara itu, berkata persetujuan AGC adalah dengan syarat kesemua perayu mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang mengetuai panel itu kemudian mengetepikan hukuman mati terhadap kesemua tertuduh dan mensabitkan keempat-empat lelaki dengan pertuduhan pindaan memiliki dadah selepas mereka mengaku bersalah.

Beliau berkata, tempoh pemenjaraan selama 20 tahun adalah bersesuaian untuk setiap tertuduh.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Abu Bakar Jais.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, mereka didapati memiliki dadah itu di Jalan SM 2, Sunway Batu Caves di Gombak, Selangor pada jam 4 petang 1 Februari 2016.

Mahkamah Tinggi pada 2019 telah menjatuhi hukuman mati ke atas Shanmugasundram yang juga seorang pemandu teksi, Vickneswaran (pekerja rencam), Vignesvaran (kerani penghantaran) dan Sathan (pengawal keselamatan).

Selepas permohonan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ditolak oleh Mahkamah Rayuan, mereka membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, menerusi peguam masing-masing, keempat-empat lelaki meminta hukuman penjara minimum selain menzahirkan kekesalan dan meminta agar diberikan satu lagi peluang manakala pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi mengelakkan orang lain melakukan kesalahan yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!