Seekor lagi beruang matahari masuk perangkap di Jeli
JELI - Seekor lagi beruang matahari berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di Kampung Sungai Satan di sini pada Khamis.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, terhadulu perangkap tersebut telah dipasang pada Ahad lalu.
"Tangkapan beruang matahari jantan ini adalah tangkapan yang kedua dilakukan di kampung yang sama.
"Pada 12 Julai lalu seekor beruang matahari betina telah memasuki perangkap dan telah dipindahkan dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, hidupan liar tersebut dipercayai dari Hutan Simpan Sungai Sator yang berjarak lebih kurang enam kilometer dari kampung tersebut.
Ujarnya, ia akan dipindahkan ke kawasan habitat yang sesuai, selamat dan jauh dari penempatan manusia dalam masa terdekat.
Mohamad Hafid memberitahu, dengan tangkapan beruang terbabit sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan.
"Seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda berkait dengan konflik hidupan liar.
"Bagi mengurangkan risiko serangan melibatkan beruang, penduduk dinasihatkan agar sentiasa berteman dan tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam," katanya.
Menurut beliau, kebun juga perlu sentiasa dibersihkan serta memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam.
Tambahnya, tangkapan dan pemindahan beruang tersebut bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan ini adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Sator yang merupakan habitat asal hidupan liar berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!