MCPF cadang gubal Akta Anti Buli, perkasa undang-undang sedia ada
SHAH ALAM - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan Akta Anti Buli digubal atau memperkasa dan meminda semula undang-undang sedia ada bagi membendung kegiatan buli siber dalam kalangan belia.
Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, ia termasuk Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 untuk dikaji semula agar sesuai dengan keadaan semasa memperuntukkan hukuman lebih setimpal kepada pelaku buli siber.
Menurutnya, MCPF mengutuk sekeras-kerasnya tindakan buli siber yang semakin membarah dan tidak dapat dibendung ketika ini.
“Buli siber lebih membimbangkan berbanding buli fizikal kerana ia tidak mempunyai sebarang tanda atau kesan fizikal, namun memberi impak yang mendalam terhadap kestabilan emosi dan kesihatan mental mangsa.
“Lebih membimbangkan mangsa langsung tidak mengenali pembulinya yang mampu membuatkan mereka sentiasa berada dalam keadaan terancam dan tidak berdaya untuk melawan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Kementerian Digital mencadangkan satu undang-undang baharu dipertimbangkan bagi meletakkan tanggungjawab ke atas pemilik platform media sosial bagi kes penyalahgunaan termasuk melibatkan buli siber.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, signal jelas perlu dihantar bagi menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan tersebut dan semua pihak yang berkaitan mempunyai peranan penting bagi tujuan itu.
Mengulas lanjut, Ayub memberitahu bahawa nilai moral, etika dan empati di platform media sosial pada masa kini semakin diabaikan.
“Pengguna media sosial cenderung meninggalkan komen berbaur jenaka atau atau mengeluarkan kata-kata kesat tanpa mengendahkan perasaan orang lain.
“Sama ada secara sedar ataupun tidak, perilaku sebegini sudah menjerumus kepada buli dan memberikan kesan mendalam seperti trauma kepada mangsa,” ujarnya.
Ayub berkata, MCPF berpandangan denda RM100 dikenakan terhadap seorang pembantu rumah jagaan orang tua, Shalini Periasamy, 35, selepas mengaku bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat bertujuan membangkitkan kemarahan pempengaruh mendiang Rajeswary Appahu adalah tidak setimpal.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan wanita tersebut telah menyebabkan kesan rantaian.
“Isu buli merupakan antara fokus MCPF yang akan sentiasa diteruskan dan ditambah baik bagi membendung serta menangani gejala serius ini.
“MCPF bergiat aktif dalam menyampaikan ceramah pencegahan jenayah dan menganjurkan kempen kesedaran berkaitan buli kepada masyarakat awam dan pelajar peringkat sekolah rendah serta menengah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!