Polis terima laporan pemandu e-hailing hilang
AMPANG - Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan kes seorang pemandu e-hailing dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga lelaki itu pada jam 4.17 petang Ahad.
"Pemandu e-hailing itu dikenali sebagai Syahrul Asyraf Dahlan, 33, telah hilang dan kali terakhir dia dapat dihubungi oleh ahli keluarganya yang tinggal di Melaka melalui panggilan telefon semasa lelaki itu memandu sebuah kereta Proton Persona berwarna coklat pada Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, ahli keluarga mangsa juga memaklumkan kepada polis bahawa kali terakhir lelaki itu menetap di rumah salah seorang ahli keluarga di Pandan Jaya di sini, pada 3 Julai lalu.
"Menurut ahli keluarga mangsa, beliau tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang dan hanya tidur di dalam kereta miliknya sejak lelaki itu bekerja sebagai pemandu e-hailing di bawah syarikat tempatan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42524866," katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan abang pemandu e-hailing, Saiful Azwan, 38, dilaporkan berkata, adiknya, Syahrul Ashraf tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga termasuk isterinya.
Kali terakhir Saiful Azwan menghubungi adik melalui aplikasi WhatsApp dan dia hanya memaklumkan akan menghantar penumpang ke Teluk Intan, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!