Wanita maut, anak cedera nahas tiga kenderaan

Keadaan MPV jenis Toyota Avanza dipandu mangsa remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori dan bas di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu di Setiu pada Khamis.
Keadaan MPV jenis Toyota Avanza dipandu mangsa remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori dan bas di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu di Setiu pada Khamis.
A
A
A

SETIU - Seorang wanita maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu terlibat kemalangan dengan dua buah lagi kenderaan di kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, nahas berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari berdekatan pintu gerbang sempadan Setiu itu menyebabkan mangsa, Nik Nabilah Nik Abdul Ghaffar, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Selain itu, katanya, anak mangsa, Wan Muhammad Aqil Wan Zulkhairi, 16, yang berada di tempat duduk belakang luka pada tangan kanan manakala tiga lagi mangsa kemalangan tidak mengalami kecederaan.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila MPV jenis Toyota Avanza dipandu wanita itu hilang kawalan lalu bergesel dengan bahagian sisi belakang sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

"Dalam masa yang sama kenderaan dipandu mangsa turut bertembung dengan bahagian hadapan sebelah kanan sebuah bas yang juga datang dari arah bertentangan," katanya di sini, pada Khamis.

Mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, Wan Muhammad Aqil telah dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan manakala ibunya dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa yang juga peniaga dalam perjalanan dari Besut menghala ke Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Dua buah kenderaan lagi iaitu lori yang dipandu lelaki berusia 28 tahun bersama seorang kelindan berusia 57 tahun dalam perjalanan dari Bukit Payong, Marang menghala ke Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Sementara itu, bas persiaran dipandu lelaki berusia 51 tahun dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus menghala ke Jeti Merang, di sini,"ujarnya.

Mohd Zain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!