Pacuan empat roda terbakar disyaki perbuatan khianat
TAMPIN - Seorang lelaki tidak menyangka kenderaan pacuan empat roda miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Baru Tampin, di sini, terbakar, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu dipercayai akibat perbuatan khianat.
"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin terima makluman daripada orang awam mengenai sebuah pacuan empat roda terbakar di Kampung Baru Tampin.
"Pengadu memaklumkan kali terakhir meletakkan kenderaannya di kawasan hadapan rumahnya pada jam 12 tengah hari Ahad selepas pulang dari pekan Tampin," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Ujarnya, kira-kira jam 10.50 malam Isnin, pengadu dimaklumkan oleh jirannya mengenai kenderaannya terbakar.
"Pengadu menghubungi pihak polis dan bomba untuk memadamkan kebakaran. Siasatan lanjut mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux terbakar di bahagian bonet hadapan.
"Ia disyaki ada unsur-unsur khianat. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan," katanya.
Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kebakaran itu diminta untuk tampil ke Balai Polis Tampin dan boleh menghubungi di talian 06-4411222 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!