Siti Nur Aminah ikut jejak ibu saudara
BINTANG badminton berusia 13 tahun yang sedang meningkat naik, Siti Nur Aminah Abdullah,mengikut jejak langkah ibu saudaranya, pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman apabila menyerlah di Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2024.
Siti Nur Aminah ketika berkongsi penglibatan awal berkata, minatnya terhadap sukan itu dijelmakan datuknya Azman Amar dan bapanya Abdullah Mohamad.
“Badminton atau tiada apa-apa lagi bagi saya kerana permainan ini adalah sebahagian daripada keluarga saya.
“Dengan Siti Nurshuhaini mencipta nama, saya mahu mengikut jejaknya,”kata pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 di Rawang itu menerusi kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini Siti Nur Aminah merangkul kejayaan pada pusingan Kelayakan Keempat AJBC 2024 selepas memenangi kategori perseorangan dan beregu perempuan Bawah 13 tahun (B-13) bersama pasangannya Adiq Puteri Waheeda dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Choh di Kuala Lumpur.
Pemenang lain yang menjadi perhatian pada pusingan kelayakan AJBC 2024 Kuala Lumpur termasuk Kiera Wong dari SMK Bandar Puchong Jaya (B) yang memenangi kategori perseorangan dan beregu perempuan bawah 15 tahun.
Sementara itu, Derrick Leung dari Sekolah Menengah Kepong Baru mengungguli kategori perseorangan dan beregu lelaki B-13.
Pusingan akhir AJBC yang menampilkan finalis dari kategori B-13 dan B-15 akan diadakan di Stadium Juara Bukit Kiara dari 20 hingga 25 November dengan setiap pusingan kelayakan menyaksikan 24 pemain mara ke peringkat akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!