Koronavirus: PM China Li Keqiang lawat Wuhan

Li Keqiang (tengah) tiba di Wuhan hari ini untuk memeriksa maklum balas terhadap koronavirus.
Li Keqiang (tengah) tiba di Wuhan hari ini untuk memeriksa maklum balas terhadap koronavirus.
A
A
A

BEIJING - Perdana Menteri China, Li Keqiang membuat lawatan pertama ke Wuhan hari ini yang menjadi pusat penyebaran koronavirus yang kini merebak di seluruh China dan empat benua.

Majlis Negara China menerusi kenyataan di akaun media sosial mereka memaklumkan kunjungan Keqiang itu bertujuan menyiasat dan memberi garis panduan terhadap usaha berterusan untuk membendung penularan virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) tersebut.

Pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 24 kematian dilaporkan, sekali gus menjadikan angka korban wabak membawa maut itu kini mencecah sekurang-kurangnya 80 orang manakala 371 lagi kes jangkitan baharu direkodkan.

Angka terbaharu dikeluarkan itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kini mencecah lebih 2,300 kes.

Sementara itu, rangkaian berita kewangan Caixin melaporkan, Pengarah Biro Agama dan Etnik Wuhan, Wang Xianling menjadi pegawai pertama kerajaan yang meninggal dunia semalam akibat jangkitan koronavirus terbabit.

Kebanyakan bandar di China kini mewajibkan kesemua penduduk mereka memakai topeng muka di tempat awam sebagai langkah mencegah penularan koronavirus tersebut. - Foto AFP
Kebanyakan bandar di China kini mewajibkan kesemua penduduk mereka memakai topeng muka di tempat awam sebagai langkah mencegah penularan koronavirus tersebut. - Foto AFP

Terdahulu, Kabinet China mengumumkan ia akan melanjutkan tempoh cuti sempena Tahun Baru Cina sehingga 2 Februari depan untuk memperkukuhkan lagi langkah pencegahan dan kawalan terhadap koronavirus tersebut.

Stesen TV, CCTV melaporkan Kementerian Pendidikan juga akan mengumumkan langkah sama untuk pelanjutan cuti sekolah.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai akan menggantung perkhidmatan bas antara bandar jarak jauh bermula esok sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak itu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!