Kerajaan tak pernah gagal lunas obligasi bayaran hutang matang

MOF memaklumkan kerajaan tidak pernah gagal dalam melunaskan obligasi bayaran hutang matang dan faedah mengikut jadual yang ditetapkan.
MOF memaklumkan kerajaan tidak pernah gagal dalam melunaskan obligasi bayaran hutang matang dan faedah mengikut jadual yang ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah gagal dalam melunaskan obligasi bayaran hutang matang dan faedah mengikut jadual yang ditetapkan, kata Kementerian Kewangan.

Justeru, kerajaan sentiasa memantau perbelanjaan bayaran khidmat hutang (DSC) dan prestasi kutipan hasil bagi memastikan nisbah DSC kepada hasil adalah tidak melebihi 15 peratus.

"Kerajaan sedang melaksanakan beberapa strategi bagi memastikan DSC kekal terurus dan dapat dikurangkan. Antaranya ialah meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur dan program pinjaman bagi membiayai defisit tahunan mengutamakan sumber pasaran modal tempatan.

"Selain itu, kerajaan juga mengambil strategi memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan dan memastikan pinjaman kerajaan adalah untuk bagi membiayai perbelanjaan pembangunan (DE) sahaja," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian Kewangan menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin mengetahui strategi kerajaan untuk mengawal DSC supaya kekal di bawah 15 peratus daripada jumlah hasil kerajaan.

Menurut kementerian itu, kerajaan juga menyemak semula kaedah pelaksanaan projek-projek mega dan kaedah pembiayaannya selain penetapan had siling jaminan kerajaan melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).

Pelaksanaan Akta FRA dijangka mampu menambah baik kemampanan hutang disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana dan semakan semula perbelanjaan yang akan dibuat dengan lebih bertanggungjawab, katanya.

Kerajaan juga meningkatkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus serta pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 2024 bagi meningkatkan kutipan hasil dan merasionalisasi perbelanjaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!