Aubameyang sertai kelab Pro Saudi Al Qadsiah
BINTANG sensasi Pierre-Emerick Aubameyang menandatangani kontrak bersama kelab Liga Pro Saudi (SPL), Al Qadsiah dengan perjanjian dua tahun.
Pemain berusia 35 tahun sebelum itu meninggalkan gergasi Perancis Marseille selepas hanya berbakti satu musim bersama kelab Ligue 1 tersebut.
Aubameyang akan kembali menyertai bekas pemain pertahanan Real Madrid, Nacho, yang turut menyertai Al Qadsiah juga dengan perjanjian dua tahun.
Pemain antarabangsa Gabon itu mengesahkan dalam satu kenyataan di Instagram bahawa dia akan meninggalkan Perancis menjelang musim 2024/25.
“Ia adalah tahun yang penuh emosi dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada seluruh kelab, kakitangan, rakan sepasukan dan penyokong kami.
“Awak telah menjadikan saya lebih kuat dan kenangan ini bersama awak akan kekal bersama saya selama-lamanya.
“Seperti semua tahu, saya sentiasa mengikut nasihat bapa, yang telah membantu saya menjadi pemain seperti sekarang, jadi kami telah membuat keputusan sebegini sepanjang karier saya. Sudah tiba masanya untuk saya memulakan lembaran baharu,” kata Aubameyang.
Pengarah Sukan Al Qadsiah, Carlos Anton sebelum itu menghabiskan beberapa minggu mengembara ke seluruh Eropah memujuk beberapa pemain menyertai kelab yang sedang meningkat naik itu.
Menurut sumber dalam SPL, mereka menjadi antara kelab paling aktif dalam pasaran perpindahan.
Sementara itu, Aubameyang melengkapkan perpindahan ke Marseille dari Chelsea pada Julai lalu menjaringkan 30 gol serta 11 kali bantuan dalam 51 penampilan di semua pertandingan.
Dia menyertai kelab London barat dari Barcelona tetapi gagal memberi impak yang ketara berikutan perpindahan 12 pound juta ke Stamford Bridge, hanya menjaringkan tiga gol.
Aubameyang membuat 163 penampilan untuk Arsenal menjaringkan sebanyak 92 gol, selain pernah bersama Borussia Dortmund, Dijon, Lille, Monaco dan Saint-Etienne.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!