Paras lebih 1,600 Mata, Bursa Malaysia dijangka kekal memberangsangkan

Pasaran Bursa Malaysia dijangka kekal memberangsangkan susulan peningkatan keyakinan AS akan menurunkan kadar faedah yang turut membantu mengurangkan impak konflik Timur Tengah. Gambar hiasan
Pasaran Bursa Malaysia dijangka kekal memberangsangkan susulan peningkatan keyakinan AS akan menurunkan kadar faedah yang turut membantu mengurangkan impak konflik Timur Tengah. Gambar hiasan
A
A
A

PASARAN Bursa Malaysia dijangka kekal memberangsangkan susulan peningkatan keyakinan Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan kadar faedah yang turut membantu mengurangkan impak konflik Timur Tengah, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Malah, berdasarkan perkembangan terkini, asas pasaran Bursa Malaysia dilihat kekal kukuh dengan paras melebihi 1,600 mata.

MOF berkata, keadaan itu turut disokong oleh kapasiti Bursa Malaysia yang mempunyai sistem kukuh dan mantap dalam memastikan proses penjelasan dan penyelesaian urus niaga saham dilakukan dengan lancar, berterusan serta berkesan.

"Bursa Malaysia akan terus mengawasi keadaan dengan teliti untuk memastikan integriti pasaran modal negara kekal utuh,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai peningkatan Indeks Bursa Malaysia pada tahun ini serta kesan konflik perang di luar negara kepada peningkatan indeks itu.

Menjelaskan selanjutnya, MOF berkata, momentum pelaburan langsung asing yang dilihat semakin meningkat, turut menyokong momentum pasaran modal dan menyumbang kepada aktiviti pasaran ekuiti.

Faktor makro yang turut menyumbang adalah penurunan kadar faedah di luar negara yang menggalakkan dana asing untuk beralih ke pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia.

"Berdasarkan prestasi ekonomi memberangsangkan, permodalan pasaran di Malaysia telah mencatatkan rekod baharu dengan pencapaian melebihi RM2 trilion (AS$424 bilion) pada 7 Mei, 2024.

Artikel Berkaitan:

"Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) juga telah melepasi paras psikologi 1,600 pada tarikh sama, mencapai tahap tertinggi sejak tiga tahun lepas dengan penutupan di paras 1,628.18 mata pada 23 Mei, 2024,” kata kementerian itu. - Bernama

___________________________________________________________________________________________________________

Kerajaan teruskan inisiatif pembaharuan fiskal, rangka strategi hasil jangka sederhana

KERAJAAN akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata, MTRS bertujuan meningkatkan mobilisasi hasil dan meluaskan asas cukai melalui pelaksanaan cukai baharu seperti cukai karbon serta cukai digital dan menambah baik pentadbiran perundangan cukai serta menyemak semula insentif percukaian sedia ada.

Katanya, kerajaan juga mengumumkan pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) ke atas pendapatan global melebihi €750 juta bermula 2025 yang mana kadar cukai 15 peratus yang dipersetujui di dalam GMT adalah lebih mampan berbanding kadar cukai efektif sedia ada.

Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana. Gambar hiasan
Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana. Gambar hiasan

"Kerajaan dijangka mendapat hasil tambahan daripada pelaksanaan GMT ini,” kata MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai perancangan kerajaan untuk meningkatkan hasil tahunan negara.

Mengulas lanjut, MOF berkata kerajaan melaksanakan semula cukai jualan dan cukai perkhidmatan pada 2018 bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018.

"Oleh yang demikian, sekiranya kerajaan berhasrat untuk melaksanakan semula GST pada masa akan datang, kerajaan akan memastikan cukai kepenggunaan dapat ditambah baik supaya bersifat progresif,” katanya.

Pada masa sama, kementerian itu berkata kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan fiskal dengan meluaskan asas hasil, mengoptimumkan pengurusan perbelanjaan, mengurangkan pendedahan risiko dan menambah baik tadbir urus fiskal.

Beberapa inisiatif yang akan dan diperkenalkan, antaranya program rasionalisasi subsidi serta komitmen untuk menambah baik cukai penggunaan dan melaksanakan MTRS.

"Manakala dari segi pembaharuan institusi, penggubalan Akta Perolehan Kerajaan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini akan meningkatkan lagi tata kelola perolehan awam ke arah mencapai nilai faedah terbaik dan kecekapan perbelanjaan,” tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!