Pindaan Akta Perubatan 1971 tingkat latihan kepakaran - Noor Hisham

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Akta Perubatan 1971 akan meningkatkan pembangunan latihan kepakaran, termasuk kedua-dua program sarjana dan laluan ‘parallel’.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan berkenaan menandakan permulaan era baharu dengan potensi besar bagi memanfaatkan sistem penjagaan kesihatan negara.

Menurutnya, Malaysia boleh memainkan peranan proaktif dalam menyediakan latihan kepada negara lain, khususnya di peringkat serantau.

“Saya melihat ucapan Menteri Kesihatan semasa bacaan kedua rang undang-undang pindaan dengan penuh minat. Saya memuji Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad atas kemahuan politik menangani isu kritikal dalam tempoh enam bulan perkhidmatan beliau.

“Usaha beliau telah mendapat sokongan padu daripada badan dan persatuan profesional utama, yang menunjukkan penglibatan serta pemahaman menyeluruh tentang aspek teknikal terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu dikuatkuasakan secepat mungkin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rang undang-undang itu bertujuan menambah baik peruntukan dalam proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan khususnya bagi laluan ‘parallel’.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu bahawa beliau turut menyokong pengenalan Jadual Keempat, yang memastikan penyenaraian kelayakan boleh didaftarkan dengan lebih teratur dan tepat serta mengurangkan ralat editorial.

Artikel Berkaitan:

“Senarai kelayakan kini lebih tersusun. Selain itu, Kementerian Kesihatan kini diiktiraf sebagai penyedia latihan dan menghapuskan istilah ‘institusi latihan yang diiktiraf’ serta menjadikan program latihan sedia ada secara tetap dari segi undang-undang.

“Program jaminan kualiti akan dilaksanakan, terutamanya untuk program latihan baharu dengan mengekalkan piawaian yang konsisten untuk program laluan sarjana dan laluan parallel,” ujarnya.

Tambah beliau, penekanan Dzulkefly terhadap aspek kualiti dalam latihan adalah penting dan patut mendapat sokongan pengamal perubatan.

Jelas beliau, KKM perlu terus mengutamakan keselamatan pesakit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!