Skuad boling remaja wanita negara sambar emas di Korea Selatan
SKUAD boling remaja wanita negara meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita pada Kejohanan Remaja Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Stadium Fiesta Asiad Bowling Icheon, Korea Selatan, pada Khamis.
Menurut laman https://www.abf-online.org, pasukan wanita Malaysia mempamerkan aksi cemerlang apabila menumpaskan Singapura 2-0, masing-masing dengan 221 dan 236 mata pada perlawanan pertama dan kedua manakala pasukan lawan meraih 211 dan 190 mata.
Skuad itu dibarisi Nur Hazirah Ramli yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini selain Adania Mohd Redzwan Anis Hannani Romzi dan Adelia Nur Irwan Syazalee.
Pingat emas tersebut merupakan satu-satunya pingat diraih kem negara sepanjang 12 hari kempen Kejohanan Remaja Dunia IBF yang berlangsung sejak 7 Julai lepas.
Mereka sebelum itu melangkah ke final selepas menewaskan pasukan Colombia 2-1 pada aksi separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!