Maritim Malaysia gerak operasi carilamat kru kapal terjatuh dalam laut

Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menggerakkan Carilamat pada Khamis selepas seorang kru Kapal MT RESOLUTE dipercayai terjatuh ke dalam laut.
Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menggerakkan Carilamat pada Khamis selepas seorang kru Kapal MT RESOLUTE dipercayai terjatuh ke dalam laut.
A
A
A

MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada Khamis selepas seorang kru Kapal MT RESOLUTE dipercayai terjatuh ke dalam laut.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, mangsa iaitu warga India dikenali sebagai Vishnu Babu, 25, dipercayai terjatuh di kedudukan 11.8 batu nautika barat daya Tanjung Klebang di sini pada 11.10 pagi.

"Sejurus menerima maklumat dari Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor Bahru, bot PERKASA 37 yang sedang dalam operasi diarahkan ke lokasi untuk mengesan mangsa Carilamat membabitkan keluasan sektor pencarian meliputi 43.5 kilometer persegi.

"Bot Ronda RH 22 daripada Pasukan Polis Marin turun membantu dalam pencarian ini namun tiada sebarang penemuan," katanya.

Beliau berkata Kapal MT RESOLUTE dalam perjalanan ke Singapura dan operasi itu ditangguh pada 7 malam ini dan akan disambung semula pada 8 pagi esok.

Mohd Khairi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!