Lelaki adakan konsert 'menyala dudaku' selepas bercerai
LAMPUNG - Seorang lelaki yang dikenali sebagai Rian Maulana menjadi buah mulut masyarakat di sini, selepas mengadakan mini konsert setelah bergelar duda.
Konsert yang dianjurkannya dengan tema 'menyala dudaku' turut tular di media sosial.
Media tempatan melaporkan Rian yang berasal dari Kecamatan Gading Rejo, Kabupaten Pringsewu, dekat sini turut mengundang mereka yang terdekat dengan menyediakan hiburan dan makanan percuma untuk mereka nikmati sebagai tanda dia bertukar status.
Rian turut meminta mereka yang hadir supaya tidak membawa cenderahati mahupun memberi sumbangan kepadanya.
Terdahulu Rian berkahwin pada Mac 2024 lalu, bagaimanapun perkahwinannya berakhir dengan penceraian.
Sementara itu, Rian menjelaskan bahawa penganjuran konsert itu bertujuan sebagai tanda dia memohon maaf kepada keluarga kerana tidak mendengar nasihat mereka untuk berkahwin.
"Memang benar itu konsert yang saya sendiri anjurkan, bagi setengah orang penceraian sesuatu yang menyedihkan, tapi bagi saya ini takdir dan saya sudah menerima seadanya," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Dalam pada itu pada 17 Julai, bekas isterinya, Natalia Dyah Ayuninggtyas membuat laporan polis terhadap Rian atas dakwaan mencemar nama baiknya.
Ketua Hubungan Masyarakat Polis Daerah Lampung Kombes Umi Fadillah Astutik berkata, beliau menerima laporan Natalia pada jam 3.30 petang waktu tempatan.
"Kami akan menyiasat laporan ini di bawah Undang-Undang Informasi dan Transaksi Eletronik," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!