Lapor awal kes orang hilang, abaikan mitos perlu tunggu 24 jam

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

ISU melibatkan kehilangan individu sama ada ahli keluarga atau kenalan dilihat membimbangkan dalam kalangan masyarakat di negara ini memandangkan ia masih berlaku sehingga hari ini.

Terbaharu, orang ramai dikejutkan dengan kes seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Pada Isnin lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River, Perak ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Insiden tersebut masih mendapat perhatian ramai, namun banyak juga kes-kes kehilangan yang berlaku sebelum itu yang mana sehingga kini belum diselesaikan pihak polis.

Ini merupakan isyarat untuk orang ramai sedar betapa pentingnya kes kehilangan individu ini dan perlu segera memaklumkan kepada polis secepat mungkin.

Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga mahu pun kenalan.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan ialah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa asasnya.

Tambahnya, jika sudah melakukan carian orang yang dirasakan hilang dan cuba hubungi tapi gagal boleh segera ke balai polis sebagai langkah awal mengelakkan suatu insiden buruk berlaku terhadap individu berkenaan.

Ini bukan sahaja melibatkan kes kehilangan kanak-kanak semata-mata, orang dewasa juga tidak terkecuali menjadi mangsa dalam isu seperti ini.

Menurut laporan Sinar Harian pada Khamis, seramai 429 individu berusia 18 tahun ke atas masih dilaporkan hilang di seluruh negara dengan jumlah itu direkodkan bagi tempoh tahun 2022 hingga Jun lalu membabitkan 314 lelaki dan 115 wanita.

Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan penting bersama penglibatan badan penguat kuasa berkaitan dalam menangani permasalahan ini.

Kes-kes ini bukan sahaja melibatkan reputasi negara dan kerajaan, malah nyawa rakyat juga berkemungkinan dipertaruhkan.

Tidak kurang juga orang ramai perlu diingatkan agar segera membuat laporan polis, bukan guna pakai mitos seperti tunggu masa sehingga 24 jam selepas kehilangan sebelum lapor pada pihak berkuasa.

Selain itu, membuat laporan polis dengan lebih awal juga kemungkinan meningkatkan peluang untuk mangsa itu selamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!