Maruah wanita lebih mahal daripada ‘likes’ dan ‘views’
ZAMAN sekarang kita memang tidak boleh lari daripada menggunakan media sosial. Di mana-mana sahaja orang melayari laman sosial, dari golongan kanak-kanak sehinggalah orang-orang tua.
Cuma apa yang membimbangkan sekarang ialah trend laman sosial yang sentiasa menjadi ikutan anak-anak muda.
Merak Jalanan sedih melihat segelintir kaum hawa tidak segan silu berjoget di depan kamera dan kemudian memuat naik di media sosial. Ada juga yang melakukannya secara live.
Merak Jalanan perhatikan ada antara wanita ini bertudung, tetapi disebabkan aksi seolah-olah tidak ingat dunia, berjoget mengikut lagu-lagu terkini yang sedang trending, hilang imej seorang wanita Melayu yang sepatutnya bersopan santun dan berakhlak tinggi.
Merak Jalanan tertanya-tanya, apa yang merasuk mereka sampai menjadi sangat berani?
Salah satu faktor yang Merak Jalanan nampak ialah pengaruh rakan sebaya. Apabila ramai kawan-kawan yang buat, keinginan untuk mencuba perkara sama itu ada. Apabila sudah mula rasa seronok, akan rasa nak buat lebih lagi.
Mungkin juga sebab nak tunjukkan bahawa diri itu up to date dan tak ketinggalan zaman. Dalam dunia yang serba pantas ini, ramai yang nak nampak trendy, malu kalau dituduh ketinggalan zaman. Jadi, media sosiallah medium untuk mereka ekspresikan diri dan berjoget itu satu cara yang mudah.
Tapi, dalam seronok-seronok itu, Merak Jalanan nak ingatkan anak-anak muda supaya jaga batas-batas agama. Islam mengajar kita supaya ada mempunyai rasa malu dan menjaga maruah diri.
Fikirkan pandangan masyarakat dan tanggapan orang sekeliling terutama keluarga.
Jangan sampai kita rendahkan martabat diri hanya kerana nak ikut trend. Ingatlah, maruah wanita itu lebih berharga daripada ribuan likes dan views di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!