Penting bahan beracun disimpan dengan betul
TRAGEDI kematian dua beradik lelaki berusia tiga dan dua tahun akibat termakan keropok segera disyaki dicampur racun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah baru-baru ini sesuatu yang amat mengejutkan.
Keropok beracun yang digantung di pagar dawai besi kebun untuk menangani masalah kera liar mengganggu tanaman tersasar dari tujuan asalnya apabila ‘umpan’ tersebut ditemui dan dijamah dua beradik itu.
Ketika kes meragut nyawa Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2, masih lagi dalam siasatan polis, kita sekali lagi dikejutkan dengan kejadian hampir sama berlaku di Kampung Air Puteh, Kemaman.
Dalam kejadian minggu lalu, remaja berusia 13 tahun, Mohd Daynail Haikal Alias dilaporkan pengsan selepas termakan biskut disyaki dicampur racun di sebuah kebun pisang di kampung berkenaan.
Dua tragedi yang berlaku itu antara contoh kemungkinan terjadi sekiranya amalan pengendalian bahan beracun tidak dilakukan secara betul atau tidak mengikut peraturan ditetapkan.
Walaupun bagi sesetengah pihak kaedah itu sudah biasa bagi menangani haiwan perosak, namun pelbagai kemungkinan di luar jangkaan boleh berlaku dek kerana ketidakpatuhan kepada tatacara pengendalian racun dengan betul dan selamat.
Ketidakpatuhan kepada perundangan penyimpanan dan pengendalian racun termasuk racun makhluk perosak atau bahan kimia berbahaya dalam kalangan kita perlu segera dinoktahkan.
Masih ada sesetengah pihak mengambil mudah apabila menyimpan racun atau bahan kimia yang digunakan di tempat terbuka, bukan dalam ruang khas atau stor berkunci yang lebih selamat.
Apatah lagi bahan berbahaya itu disimpan dalam bekas makanan atau botol minuman yang boleh mengelirukan sebagaimana kenyataan Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara (PRN), Adilah Mohamed Ariff baru-baru ini.
Jelas beliau, antara kes keracunan yang biasa diterima berpunca daripada kecuaian penyimpanan bahan seperti pemindahan bekas bahan kimia ke bekas lain.
Selain itu, amalan mengumpan haiwan perosak menggunakan makanan yang digaul bersama racun juga meningkatkan risiko keracunan kepada bukan saja kanak-kanak, malah orang dewasa.
Ujarnya, sebanyak 3,153 panggilan berhubung kes keracunan serta pendedahan kepada racun diterima dari seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2022 yang mana sebanyak 2,913 panggilan diterima dan kanak-kanak terutamanya berusia satu hingga empat tahun menjadi mangsa tertinggi.
Sementara itu, sebanyak 90 peratus masalah keracunan berlaku di rumah seperti dinyatakan dalam portal MyHealth Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut maklumat itu, kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun berisiko tinggi mengalami keracunan kerana sifat ingin tahu semula jadi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang ditemui.
Berdasarkan apa yang telah berlaku, adalah lebih baik sekiranya agensi berkaitan mengambil satu inisiatif menekankan amalan pengendalian, penyimpanan dan sebarang undang-undang berkaitan racun kepada orang ramai agar lebih difahami dan dipatuhi.
Setidak-tidaknya mewajibkan setiap racun yang dijual di pasaran diletakkan label amaran dan kaedah penggunaan serta penyimpanan selamat.
Namun, perkara itu sudah pun dalam perhatian kerajaan seperti maklum balas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa tragedi yang berlaku merupakan satu peringatan kepada KKM supaya memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi penggunaan serta penjualan racun tikus dan seumpamanya.
Ujar beliau, penguat kuasa perlu memberi perhatian terhadap bahaya racun tersebut kepada manusia kerana mempunyai toksisiti yang sangat tinggi hingga boleh membawa maut.
Selain sebagai wake up call bagi KKM, ia juga satu peringatan buat semua pihak yang berurusan dengan bahan berbahaya itu supaya tragedi maut termakan racun tidak lagi berulang.
* Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah Ketua Biro Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!